Negara dijangka kehilangan Harimau Malaya jika tiada tindakan luar biasa

Masa Membaca:1 Minit, 36 Saat

PUTRAJAYA 29 Julai – Malaysia bakal kehilangan spesies Harimau Malaya di habitat semula jadi dalam tempoh lima hingga 10 tahun akan datang sekiranya tindakan luar biasa tidak dilakukan sekarang, kata Menteri Tenaga dan Sumber Asli Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah.

Beliau berkata populasi Harimau Malaya berada pada tahap membimbangkan dengan dianggarkan populasi haiwan itu di dalam hutan hujan tropika Semenanjung Malaysia adalah antara 250 dan 340 ekor sahaja pada 2014 berbanding kira-kira 3,000 ekor pada sekitar tahun 1950-an.

Berucap merasmikan webinar sempena Sambutan Hari Harimau Sedunia 2021 yang bertemakan ‘Harimau Malaya: Kelangsungan Hidup Mereka, Tanggungjawab Kita Bersama’ hari ini, Shamsul Anuar berkata, pengurangan populasi Harimau Malaya disebabkan beberapa faktor antaranya kehilangan habitat dan sumber makanan akibat aktiviti pembukaan hutan serta perubahan guna tanah yang tidak seimbang.

Menurutnya Harimau Malaya juga menjadi sasaran utama aktiviti pemburuan dan perdagangan haram disebabkan permintaannya yang tinggi di pasaran gelap.

“Marilah kita bersama-sama memastikan Harimau Malaya tidak pupus dan simbolnya kepada Jata Negara dapat terus dikekalkan. Kita tidak mahu satu hari nanti, Harimau Malaya hanya tinggal nama dan gambarnya sahaja,” katanya.

Shamsul Anuar sebelum ini dilaporkan berkata, kerajaan mengenal pasti tindakan strategik untuk mengukuhkan inisiatif dalam aspek pemeliharaan dan pemuliharaan habitat Harimau Malaya yang merupakan spesies ikonik Malaysia dan menjadi simbol Jata Negara.

Inisiatif berimpak tinggi akan dilaksanakan termasuk rondaan penguatkuasaan dan pengawalan dalam kawasan habitat itu bagi membanteras penceroboh dan pemburu haram, dan kementeriannya juga sedang melaksanakan proses pindaan ke atas Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 supaya hukuman dan penalti lebih berat dikenakan bagi kesalahan memburu spesies hidupan liar yang dilindungi sepenuhnya.

Sambutan Hari Harimau Sedunia adalah acara tahunan sejak 2010 selepas dipersetujui oleh 13 Ketua-Ketua Negara Tiger Range Countries yang menghadiri Global Tiger Summit di St Petersburg, Rusia pada Oktober 2010.

Negara tersebut ialah Malaysia, India, Bangladesh, Bhutan, Kemboja, China, Indonesia, Laos, Myanmar, Nepal, Rusia, Thailand dan Vietnam.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1012
Kongsi :
Previous post Gagal jaga keselamatan pekerja sehingga maut, syarikat pembinaan didenda RM38,000
Next post Media ‘berkampung’ di rumah Muhyiddin
Ubah saiz-+=