Sorting by

×

Nelayan hilang punca rezeki selepas hilang kaki

Masa Membaca:2 Minit, 3 Saat

PANTAI KUNDOR 20 Jun – Jika sebelum ini nelayan, Mohd Khir Ibrahim mampu membelah ombak di tengah laut untuk mencari rezeki, kini beliau hanya mampu menghabiskan waktu di atas kerusi roda selepas kaki kanannya dipotong akibat diabetes.

Tugasnya membuang dan menarik jaring sejak 37 tahun lalu terhenti apabila kakinya dijangkiti kudis pada awal Mei lalu sebelum melarat hingga menyebabkan dia kehilangan kaki kanan pada 18 Mei lalu.

Mohd Khir, 55, berkata, sebelum kakinya dipotong, telapak kaki kanannya dijangkiti kudis dan melarat hingga ke ibu jari yang mengakibatkan dia terpaksa menanggung kesakitan dan gatal yang serius.

“Saya menjalani rawatan di klinik tetapi penyakit itu melarat hinggalah doktor di Hospital Melaka mengambil keputusan untuk memotong ibu jari kaki kanan pada 8 Mei lalu.

“Bagaimanapun, bakteria itu sudah melarat hingga ke paras betis dan doktor sekali lagi mengambil keputusan untuk memotong kaki saya dari paras bawah lutut pada 18 Mei lalu,” katanya ketika ditemui di kediamannya di Kampung Pantai Jaring, Pantai Puteri, Tanjung Kling di sini hari ini.

Nelayan itu berkata, kehidupannya yang ibarat kais pagi makan pagi, kais petang makan petang bertambah sukar akibat penyakit berkenaan, namun dia reda dengan ketetuan Allah dan rela kakinya dipotong kerana tidak mampu menahan kesakitan yang menyeksakan.

Isterinya, Kartini Abdul Wahid, 52, berkata sejak suaminya dijangkiti penyakit berkenaan awal Mei lalu, dia kehilangan sumber pendapatan.

“Saya tidak bekerja tetapi kami bernasib baik kerana anak bongsu berusia 22 tahun yang kerja kilang membantu kami serba sedikit bagi kami meneruskan kehidupan yang semakin mencabar.

“Anak sulung dan kedua kami sudah berumah tangga dan mempunyai tanggungan sendiri tetapi mereka tidak pernah lupa untuk membantu kami setakat yang mampu,” katanya.

Mohd Khir (dari kanan) dibantu anak kedua, Mohd Shukri dan Kartini menanggalkan ikan pada jaring di pangkalan nelayan Kampung Pantai Jaring, Pantai Puteri, Tanjung Kling sebelum kaki kanan Mohd Khir dipotong akibat diabetes pada 18 Mei lalu.

Kartini berkata, dia tidak mampu lagi membuat ikan kering seperti sebelum ini kerana ketiadaan sumber ikan selangat, tamban, beliak mata, mempinis, anak gelama dan seumpamanya yang sering ditangkap suami.

Katanya, dia sudah mencuba mendapatkan bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan Majlis Agama Islam Melaka (MAIM) bagi meringankan beban kewangan.

Bagaimanapun, setakat ini beliau masih menanti maklum balas daripada kedua-dua agensi berkenaan dan berdoa agar Allah memurahkan rezekinya sekeluarga.

Bagi sesiapa yang ingin menghulurkan sumbangan boleh berbuat demikian dengan menghubungi Kartini di talian 01157515343.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

984
Kongsi :
Previous post Nelayan lemas terjatuh ke laut ketika memukat ikan
Next post Sindiket penipuan ‘kreatif’ perdayakan masyarakat – Acryl Sani
Ubah saiz-+=