288744632_400701045423455_1273554304288795964_n

Sindiket penipuan ‘kreatif’ perdayakan masyarakat – Acryl Sani

KUALA LUMPUR, 20 Jun – Pelbagai helah atau taktik ‘kreatif’ digunakan sindiket penipuan untuk memperdayakan mangsa mereka, kata Ketua Polis Negara Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani.

Beliau berkata orang ramai diminta sentiasa membuat semakan terlebih dahulu sebelum membuat sebarang urusan perbankan secara dalam talian.

“Ancaman scammer terutamanya penipuan dalam talian semakin menimbulkan keresahan dalam masyarakat. Scammer ini suka gertak sehingga membuatkan mangsa panik, ini bukan ada bomoh atau pukau,” katanya.

Acryl Sani berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan program derma darah sempena Sambutan Hari Polis ke-215 di Bukit Aman, di sini, hari ini.

Menurutnya, polis menerusi Jabatan Siasatan Jenayah Komersial sentiasa mengadakan kempen bagi mendedahkan orang ramai dengan taktik yang dilakukan sindiket ini.

Beliau berkata ia mula menampakkan hasil apabila pihaknya melihat terdapat pengurangan kes melibatkan sindiket penipuan ini.

“Saya yakin dan percaya akan tiba masanya setiap ahli masyarakat tahu untuk menjauhkan diri daripada menjadi mangsa sindiket penipuan ini,” katanya.

Acryl Sani turut menegaskan pihaknya tidak akan meminta butiran peribadi seperti akaun bank menerusi panggilan telefon bagi tujuan siasatan sebaliknya keterangan akan diambil secara bersemuka di balai polis.

— BERNAMA

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

95
1 (6) Previous post Nelayan hilang punca rezeki selepas hilang kaki
pdrm logo Next post Kanak-kanak kritikal ada dadah dalam badan