Nelayan hingga akhir hayat

Masa Membaca:1 Minit, 32 Saat

PENGKALAN BATU 4 Mac. – Walaupun sudah tidak segagah dahulu, namun kudrat seorang warga emas yang masih cekal meneruskan kerjaya sebagai seorang nelayan pesisir pantai wajar dijadikan contoh kepada ramai anak muda di luar sana.

Ibrahim Madon, 71, kini terpaksa bergantung kepada kerusi roda untuk kemana-mana, namun itu tidak mematahkan semangat untuknya terus menjadi penanti setia di jeti nelayan Pengkalan Lambak.

Dia yang sudah hampir 60 tahun bergelumang dengan badai dan gelora di tengah lautan, kini telah menurunkan ilmu laut kepada anak lelakinya dan sesekali mengakui tetap mengikut anaknya untuk turun ke laut walaupun upayanya tidak sama seperti dahulu.

“Saya menjadi nelayan sejak tahun 1960-an lagi. Sudah lama, tetapi saya tetap cintakan kerja sebagai nelayan.

“Kini saya tidak lagi sekuat dahulu, tetapi saya akan tetap setia menjadi penunggu setia di jeti nelayan untuk menunggu anak saya pulang dengan tangkapan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui menerima bantuan sagu hati khas ‘one-off’ kepada nelayan Melaka bertempat di Kompleks Japerun Pengkalan Batu, di sini, hari ini.

Pemberian sagu hati bernilai RM1,000 itu telah disampaikan oleh Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Penternakan, Pembangunan Usahawan dan Koperasi negeri Datuk Norhizam Hassan Baktee yang mana ia merupakan antara inisiatif kerajaan negeri bagi membantu nelayan yang terjejas dengan pandemik COVID-19 sejak tahun lalu.

Bagi Ibrahim, pemberian tersebut nyata memberi kelegaan kepada semua nelayan sepertinya untuk terus bernafas tatkala menanti hasil yang tidak menentu dari lautan.

“Saya bersyukur sangat. Terima kasih kerajaan negeri kerana sentiasa prihatin dengan nasib nelayan seperti kami,” ujarnya.

Sementara itu, Norhizam yang ditemui selepas majlis tersebut memaklumkan seramai 1,126 nelayan di seluruh negeri menerima bantuan sagu hati khas tersebut dengan peruntukan berjumlah RM1.482 juta.

Bayaran tersebut, ujarnya merupakan bayaran bagi fasa kedua bernilai RM500 setiap seorang selepas bayaran fasa pertama diberikan pada September tahun lalu.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

430
Kongsi :
Previous post Demi cinta, wanita serah wang simpanan ibu RM418,400 kepada kekasih
Next post Hubungan Bersatu-UMNO diputuskan mesyuarat petang ini- Hamzah
Ubah saiz-+=