Nelayan Thailand ditahan ceroboh perairan Kuala Perlis

Masa Membaca:1 Minit, 19 Saat

KUALA PERLIS, 15 Jun – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) menahan dua bot nelayan Thailand yang dipercayai menceroboh dan mencuri hasil laut di Kuala Perlis membabitkan nilai rampasan keseluruhan berjumlah RM19,600 semalam.

Pengarah Zon Maritim APMM Kuala Perlis Komander Maritim Mohd Hashim Mat Zain berkata pihaknya menahan bot pertama kira-kira 5.2 batu nautika barat daya Kuala Perlis pada 8.55 pagi.

“Tangkapan itu melibatkan seorang tekong dan kru warga Thailand masing-masing berumur 21 dan 48 tahun…hasil pemeriksaan awal menemukan satu pukat ketam, sebuah tong ais berisi udang lipan dan ketam dianggarkan seberat 3 kilogram,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mohd Hashim berkata tangkapan kedua pula dilakukan kira-kira 6.1 batu nautika barat daya Kuala Perlis pada 9.11 pagi membabitkan seorang tekong dan kru yang masing-masing berusia 16 serta 33 tahun.

“Sewaktu ditahan, dua nelayan warga Thailand itu sedang leka menjalankan aktiviti menarik pukat dan pemeriksaan menemukan dua pukat ketam, sebuah tong berisi 10 liter minyak petrol, ketam dan udang lipan,” katanya.

Beliau berkata pemeriksaan lanjut ke atas semua nelayan berkenaan mendapati pihak terlibat tidak memiliki dokumen pengenalan yang sah selain bot digunakan mereka juga tiada nombor pendaftaran.

Mohd Hashim berkata suspek bersama barang rampasan dibawa ke jeti Zon Maritim Kuala Perlis dan diserahkan kepada pegawai penyiasat untuk tindakan selanjutnya.

“Kes disiasat di bawah Seksyen 15 (1)(a) Akta Perikanan 1985 kerana menangkap ikan di perairan Malaysia tanpa permit sah dan Seksyen 6(1) Akta Imigresen 1959/63 kerana tidak memiliki pas memasuki negara ini,” katanya.

— BERNAMA

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1476
Kongsi :
Previous post 1MDB gagal bayar pinjaman, kerajaan tanggung hutang US$3 bilion – Saksi
Next post Minat kaji ‘dadah’ bantu graduan Geomatika raih kejayaan
Ubah saiz-+=