Nenek, bapa didakwa bunuh, abai kanak-kanak OKU

Masa Membaca:1 Minit, 39 Saat

KUALA LUMPUR, 21 Jan.- Seorang nenek dan bapa dihadapkan ke Mahkamah Selayang di sini hari ini berhubung kematian seorang kanak-kanak perempuan orang kelainan upaya (OKU) berusia lima tahun di sebuah rumah di Gombak, akhir tahun lalu.

Ipzuma Ambo, 55, warga Indonesia dituduh membunuh cucu saudaranya itu di rumah di Kampung Sungai Chinchin, Gombak, dekat sini antara 12.01 pagi, 28 Disember dan 8.10 malam, 30 Disember 2020.

Dia didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan.

Tiada pengakuan direkodkan daripada pembantu rumah itu selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Majistret Nik Mohd Fadli Nik Azlan kerana kes bunuh di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nurul Ain Shafie dan Nur Shasha Hidayah Nor Azahar manakala tertuduh diwakili peguam Suriati Che Arifin.

Sementara itu di Mahkamah Sesyen, bapa mangsa, Roza Iskandar Mardi, 34, mengaku tidak bersalah atas pertuduhan mengabaikan anak perempuannya sehingga menyebabkan kanak-kanak tersebut mengalami kecederaan fizikal pada tubuh badannya.

Pemandu lori itu dituduh melakukan perbuatan tersebut di tempat sama antara 1 Januari dan 30 Disember tahun lalu.

Dia didakwa mengikut Seksyen 31(1) (a) Akta Kanak-Kanak 2001 dan boleh dihukum di bawah seksyen sama, yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara maksimum 20 tahun atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Nurul Ain menawarkan jaminan RM15,000 dengan seorang penjamin bagaimanapun Suriati yang mewakili Roza Iskandar memohon jaminan minimum atas alasan jaminan hanya bertujuan untuk memastikan kehadiran anak guamnya ke mahkamah.

Hakim Maziah Joary Mohd Tajudin membenarkan lelaki itu diikat jamin RM8,000 dengan seorang penjamin berserta syarat tambahan tertuduh perlu melaporkan diri di balai polis berdekatan tempat tinggal pada 1 haribulan setiap bulan hingga kes selesai dan dilarang mengganggu saksi-saksi pendakwaan.

Kedua-dua mahkamah menetapkan 18 Feb untuk sebutan semula kes dan laporan bedah siasat.

Sebelum ini, Bernama melaporkan kedua-dua mereka antara enam individu ditahan bagi membantu siasatan kematian kanak-kanak menghidap penyakit Hydrocephalus iaitu lebihan cecair otak sejak lahir.

Views:

515
Kongsi :
Previous post Ahmad Zahid bebas COVID-19
Next post ‘The Bos Gaurus’ hilang teraju
Ubah saiz-+=