Nenek, cucu antara tiga ahli sindiket ditahan edar dadah

Masa Membaca:1 Minit, 21 Saat

ALOR GAJAH 2 Ogos – Seorang nenek dan cucu lelakinya antara tiga ditahan dipercayai terbabit sindiket pengedaran dadah di Taman Seri Bayu, di sini, Khamis lalu.

Ketiga-tiga suspek ditahan dalam dua serbuan berasingan di taman berkenaan bermula jam 6 pagi dan polis turut merampas dadah bernilai RM86,000.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Melaka, Superintendan Zulkiflee Rashid berkata, pihaknya yang dibantu Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJN) Alor Gajah menahan seorang lelaki berusia 31 tahun dalam serbuan pertama di sebuah rumah pada jam 6 pagi.

Katanya, dalam serbuan itu pihaknya menemukan enam peket plastik lutsinar dipercayai dadah jenis heroin seberat 633 gram bernilai RM6,000.

“Turut ditemukan 18 peket plastik lutsinar disyaki dadah syabu seberat 2.2 kilogram dianggarkan bernilai RM80,000.

“Semua dadah itu dipercayai untuk diedarkan di negeri ini dan boleh dibekalkan kepada kira-kira 6,200 penagih,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.

Mengulas lanjut, katanya susulan penahanan itu pihaknya melakukan satu lagi serbuan di sebuah rumah di taman sama 45 minit kemudian dan menahan wanita warga emas berusia 65 tahun bersama cucu lelakinya berusia 21 tahun.

“Siasatan awal mendapati ketiga-tiga suspek dipercayai ahli sindiket pengedaran dadah dan kesemuanya mempunyai rekod jenayah membabitkan dadah.

“Suspek lelaki berusia 21 tahun turut mempunyai satu rekod jenayah,” katanya.

Zulkiflee berkata, semua suspek direman tujuh hari bermula Jumaat hingga Khamis ini untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

“Polis turut menyita sebuah motosikal dan kereta serta barang kemas milik suspek wanita berkenaan yang keseluruhannya bernilai RM24,782.11 mengikut Akta dadah berbahaya (perlucutan harta) 1988.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

502
Kongsi :
Previous post 8,000 peruncit dan pemborong bakal divaksin menerusi RIVAC di Melaka
Next post COVID: 15,764 kes baharu hari ini – KP Kesihatan
Ubah saiz-+=