NGO, persatuan India komited bantu masalah komuniti

Masa Membaca:1 Minit, 49 Saat

PAYA RUMPUT 8 Sept. – Badan bukan kerajaan (NGO) dan persatuan India di negeri ini komited dalam membantu menyelesaikan masalah yang dihadapi komuniti itu khususnya mereka yang tidak mahu berubah untuk kehidupan yang lebih baik.

Pengerusi Persatuan Khidmat Masyarakat India Negeri Melaka Datuk M.S. Mahadevan berkata, akibat daripada sikap itu ia secara tidak langsung memberi impak kepada generasi muda sehinggakan ada yang tidak menghabiskan pelajaran sampai tingkatan lima.

Beliau berkata, selain masalah sosial, permasalahan yang sering dihadapi dalam komuniti India adalah ada di antara mereka yang tiada sijil kelahiran walaupun sudah berumur 25 tahun serta tidak mendaftarkan perkahwinan sehingga dianggap sebagai warga asing kerana tidak mempunyai dokumen yang boleh menyokong mengatakan mereka rakyat Malaysia.

“Di Melaka terdapat lebih 50 NGO termasuk persatuan yang bertanggungjawab bukan sahaja dalam hal etnik malah membantu menyelesaikan isu-isu ini dengan mengadakan aktiviti bulanan serta tahunan dengan mengumpulkan remaja supaya mereka tidak terus ke jalan tidak sihat.

“Mendapat tahu jumlah kes-kes jenayah dalam kalangan masyarat India memang sedih dan kami kini sedang mengadakan pelbagai program untuk bangunkan semula mereka termasuk menganjurkan aktiviti kebajikan,” katanya ketika ditemui Melaka Hari Ini baru-baru ini.

Menurutnya, kurangnya kepentingan akademik serta latar belakang keluarga yang bermasalah dalam segelintir komuniti India turut mengakibat berlakunya masalah sosial.

“Apabila mereka ini terdiri daripada keluarga bermasalah, ibu bapa berantakan anak-anak tidak diberi perhatian dan dorongan sehingga menjejaskan persekolahan. Apabila dipanggil ibu bapa, mereka tidak berminat untuk memberikan kerjasama.

“Malah kami NGO termasuk Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG), kita sedang mengambil langkah membantu serta mengenal pasti apa yang mereka alami di peringkat menengah sehingga timbul masalah sedangkan ketika di sekolah rendah mereka murid cemerlang,” katanya.

Mahadevan berkata, pihaknya amat berharap agar komuniti India kehadapan untuk tampil merebut peluang dan ruang yang disediakan kerajaan dalam membantu mereka mengubah kehidupan lebih baik.

“Selain terdapat universiti dan kolej khas untuk masyarakat India dengan tawaran biasiswa serta pinjaman selain kerajaan sendiri membuka peluang untuk mengikuti pengajian vokasional yang menjanjikan peluang pekerjaan tetapi ramai yang tidak berminat,” katanya.

Ujar beliau, pihaknya juga turut bersama-sama dengan kerajaan negeri mengenal pasti masalah dan cuba mencari penyelesaian termasuk dengan bantuan beberapa agensi kerajaan lain iaitu Jabatan Kebajikan Masyarakat dan Jabatan Pendaftaran Negara.

Views:

1012
Kongsi :
Previous post Ketua Polis Melaka terima kunjungan hormat MHI
Next post PMM kongsi 59 inovasi bahan pengajaran dalam talian
Ubah saiz-+=