Nilai sumbangan Misi Bantuan Pasca Banjir Melaka meningkat kepada RM80,000

Masa Membaca:1 Minit, 20 Saat

AYER KEROH 15 Jan. – Nilai sumbangan diterima Misi Bantuan Pasca Banjir Kerajaan Negeri Melaka ke Negeri Pahang kini meningkat kepada RM80,000.

Yang Dipertua Majlis Perbandaran Hang Tuah Jaya (MPHTJ), Datuk Shadan Othman berkata, pihak terharu dengan kerjasama pelbagai pihak termasuk pihak berkuasa tempatan Melaka, syarikat swasta, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) serta orang perseorangan.

“Insya-Allah esok jam 7 pagi kami akan bertolak ke rumah Ketua Menteri bagi pelepasan misi ke Pahang jam 8 pagi.

“Selain makanan banyak juga barang keperluan asas disumbangkan seperti periuk, pinggan mangkuk, tuala, selimut, toto dan sebagainya,” katanya kepada Melaka Hari Ini (MHI) di Melaka Mall, Ayer Keroh.

KERJA-kerja memasukkan barang sumbangan ke dalam lori PBT.

Pada masa sama, MHI yang menjadi media rasmi misi bantuan turut diwakili wartawan dan juruvideo bagi merasai sendiri pengalaman membantu mangsa banjir di Pahang.

Shadan berkata, misi pasca banjir tersebut adalah hasrat kerajaan negeri dan MPHTJ selaku pihak berkuasa tempatan (PBT) yang mengetuai misi.

Katanya, misi bantuan itu tertakluk kepada prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 2.0.

“Saya nak ucapkan terima kasih kepada semua jabatan terutama PBT Negeri Melaka dan jabatan kerajaan dalam negeri yang banyak membantu untuk menjayakan misi bantuan ini,” katanya.

MPHTJ mengetuai misi tersebut bersama Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB), Majlis Perbandaran Jasin (MPJ) dan Majlis Perbandaran Alor Gajah (MPAG).

Turut sama agensi Majlis Keselamatan Negara (MKN) negeri, Polis Diraja Malaysia, Jabatan Bomba dan Penyelamat Negeri, Jabatan Kesihatan Negeri, Majlis Agama Islam Melaka (MAIM), Hospital Pakar Putra, Mamee Double-Decker (M) Bhd dan Jabatan Keselamatan & Kesihatan Pekerjaan (JKKP) negeri.

Views:

1127
Kongsi :
Previous post JKN kesan kontak rapat petugas UTC positif COVID-19
Next post GERAMM minta kurangkan risiko jangkitan COVID-19 dalam kalangan media
Ubah saiz-+=