OKP dedah ‘rahsia’ sendiri

Masa Membaca:1 Minit, 58 Saat

TANJUNG BIDARA 27 Okt. – Bagi setiap individu dikenakan Orang Kena Pengawasan (OKP), akan ada kira-kira 10 orang lagi rakan mereka yang bersama menyalahgunakan dadah dan belum menjalani rawatan pemulihan.

Berdasarkan maklumat Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) Melaka, sehingga September lalu, Melaka merekodkan 1,647 OKP sedang menjalani rawatan pemulihan penagihan dadah dan sehubungan itu dianggarkan 16,470 lagi rakan mereka masih dikesan belum menjalani rawatan pemulihan.

Pengarahnya Nazir Mohamad berkata, perkara itu antara yang didedahkan OKP, berdasarkan bualan dari hati ke hati terhadap 500 OKP yang ditemui pegawai AADK.

“Kami mengadakan perbincangan hati ke hati dengan 500 OKP baru-baru ini dan mereka menyatakan ada 10 lagi rakan mereka seumpama itu dan bagi mengurangkannya, kami amat memerlukan pembabitan anggota komuniti bagi bersama-sama membantu membanteras penyalahgunaan dadah.

NAZIR menyampaikan ceramah mengenai pencegahan penagihan dadah pada program Lepak Dengan Komuniti di warung kopi Kampung Londang, Masjid Tanah dekat Alor Gajah. Foto Din Ahmad

“Penagih dadah sekarang tidak lagi boleh dikesan berdasarkan keadaan fizikal mereka berbanding dahulu kerana sekarang mereka menagih dadah jenis ‘methamphetamine,’ terutama syabu,” katanya.

Beliau berkata demikian pada program ‘Lepak Dengan Komuniti’ di warung kopi Kampung Londang, Masjid Tanah di sini hari ini.

Hadir sama, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjung Bidara Datuk Md Rawi Mahmud; Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) itu Datuk Abdul Mutallif Che Mat dan Pegawai AADK Daerah Alor Gajah Lailiana Maon.

Daripada keseluruhan 1,647 OKP itu, seramai 702 adalah OKP di Alor Gajah, manakala OKP di Dewan Undangan Negeri (DUN) Tanjung Bidara adalah seramai 88 orang.

Nazir berkata, berdasarkan kes tangkapan penagih dadah, 80 peratus daripada mereka terbabit dalam penagihan syabu dengan 74 peratus daripada mereka belia berusia antara 18 hingga 40 tahun.

“Lebih membimbangkan ialah umur mereka yang ditahan itu semakin muda, iaitu 16 tahun yang kebanyakan mereka tercicir dalam pelajaran,” katanya.

Sehubungan itu, beliau meminta pemimpin peringkat akar umbi di kampung atau taman perumahan supaya memastikan pelajar di kawasan mereka, bukan setakat hadir di
sekolah, malah tidak bercampur dengan rakan yang tidak bersekolah dan menagih dadah.

Jelasnya, selain itu, profil kebanyakan penagih dadah di negeri ini adalah mereka yang menganggur dan tidak mempunyai pendidikan tinggi.

“Amat penting untuk anggota komuniti tidak menyisihkan bekas penagih dadah yang benar-benar insaf dan berusaha untuk tidak kembali bergelumang dalam dosa serta dunia yang gelap gelita,” katanya.

Views:

1018
Kongsi :
Previous post Rasuah: Bekas KP Perisikan dan dua pegawai kanan ATM didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur
Next post Penceramah dari lokasi PKPB tak dibenarkan
Ubah saiz-+=