Op Soga: 412 individu ditahan disyaki terlibat judi Piala Dunia Qatar

Masa Membaca:1 Minit, 9 Saat

KUALA LUMPUR, 9 Dis – Polis Diraja Malaysia (PDRM) menahan 412 individu kerana disyaki terlibat dalam kegiatan judi bola sepak Piala Dunia Qatar 2022 menerusi Op Soga IX bermula 19 Nov lepas hingga semalam.

Setiausaha PDRM Datuk Noorsiah Mohd Saaduddin berkata dalam tempoh berkenaan pihaknya turut merampas pelbagai barang antaranya nilai had kredit dalam perisian berjumlah RM10,601,201.25, wang tunai RM417,613, komputer, tablet, telefon bimbit dan kertas catatan pertaruhan.

Beliau berkata Selangor merekodkan jumlah tangkapan terbanyak dengan 135 individu diikuti Johor (51), Kuala Lumpur (43), Sarawak (34), masing-masing 28 di Pulau Pinang dan Negeri Sembilan, Kedah (23), Sabah (18), masing-masing 14 di Pahang dan Melaka, Terengganu (sembilan), Perak (lapan), Kelantan (empat) dan Perlis (tiga).

“Kesemua tangkapan merupakan bookie atau punter telah direman untuk siasatan lanjut mengikut Akta Pertaruhan 1953 dan Akta Rumah Judi Terbuka 1953,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Noorsiah berkata dalam tempoh itu juga, 348 kertas siasatan telah dibuka dengan 289 kini dalam tindakan, 52 daripadanya telah berjaya dituduh dan tujuh kertas siasatan telah disabitkan hukuman oleh mahkamah.

Menurutnya, PDRM akan mengambil tindakan tegas kepada individu yang menganjur dan menjalankan pertaruhan mengikut lunas undang-undang sedia ada dalam menangani aktiviti perjudian.

“Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai sebarang kegiatan perjudian boleh menyalurkannya melalui WhatsApp Op Soga IX menerusi talian 016-5773477,” katanya.

— BERNAMA

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1586
Kongsi :
Previous post Isu penyelewengan pengurusan COVID-19 libat peruntukan RM530 bilion – SPRM
Next post Gabungan semua IPT rancakkan kejohanan Sukan
Ubah saiz-+=