Operasi cari dua nelayan dikhuatiri lemas dihentikan

Masa Membaca:1 Minit, 44 Saat

TELOK MAS 19 Jan. – Operasi mencari dan menyelamat (SAR) dua nelayan dari Jeti Nelayan Padang Temu, dekat sini yang dikhuatiri lemas selepas keluar menjaring ikan di perairan Selat Melaka sekitar Pulau Undan sejak Rabu lalu dihentikan jam 6 petang tadi.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Afzanizar Ahmad berkata, operasi SAR yang memasuki hari ketiga hari ini sejak Ahad lalu terpaksa dihentikan kerana pasukan mencari tidak menemui petunjuk baharu kes berkenaan yang dilaporkan kepada polis petang Sabtu lalu.

“Selepas tiga hari operasi SAR dilaksanakan, jam 6 petang tadi kita telah hentikan operasi kerana tidak menemui sebarang petunjuk baharu kes selain mengikut prosedur operasi standard (SOP) SAR.

“Isteri mangsa juga telah dimaklumkan perkara ini dan mereka berterima kasih kepada pasukan SAR yang telah bertungkus lumus selama tiga hari ini. Operasi bagaimanapun akan diteruskan sekiranya kita menemui petunjuk baharu,” katanya ketika dihubungi Melaka Hari Ini malam ini.

PULAU Undan lokasi dua nelayan dikhuatiri lemas

Mengulas lanjut Afzanizar berkata, walaupun operasi SAR telah dihentikan, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) dan Pasukan Polis Marin (PPM) yang menjalankan rondaan Op Benteng sedia menyalurkan maklumat sekiranya terdapat petunjuk kes.

“Op Benteng bertujuan menangani isu kemasukan pendatang asing tanpa izin (PATI) dan jenayah rentas sempadan negara tapi jika ada petunjuk baharu berkenaan kes dua nelayan ini, mereka akan bantu menyalurkan maklumat kepada kita,” katanya.

Ahad lalu media melaporkan dua nelayan berkenaan, Ahmad Norizan Mohamad, 37, dan rakannya Irwan Radjab, 47, dilaporkan hilang selepas empat hari keluar menangkap ikan sekitar Pulau Undan.

Kehilangan Ahmad Norizan disedari isterinya pada Sabtu lalu setelah dia tidak pulang sejak 13 Januari selepas keluar bersama rakannya itu.

Susulan laporan polis yang dibuat ahli keluarga mangsa di Balai Polis Kandang jam 6 petang Sabtu lalu, pihak berkuasa memulakan operasi SAR pada Ahad sehingga petang tadi keseluruhannya membabitkan kira-kira 60 pegawai dan anggota agensi berkaitan termasuk nelayan.

Operasi SAR turut diperluas sehingga 54 kilometer (km) persegi semalam namun pihak berkuasa masih belum menemui sebarang petunjuk termasuk serpihan sekiranya bot karam atau petunjuk lain yang boleh dikaitkan dengan kehilangan dua nelayan terbabit.

Views:

344
Kongsi :
Previous post PKP seluruh negara kecuali Sarawak
Next post Aziz Ujang meninggal dunia
Ubah saiz-+=