Ops HRA: JPJ Melaka keluar 2,062 saman, 474 notis

Masa Membaca:1 Minit, 42 Saat

AYER KEROH 28 April – Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Negeri Melaka mengeluarkan 2,062 saman dan 474 notis membabitkan pelbagai kesalahan pada Operasi Pengkuatkuasaan Perayaan Sempena Hari Raya Aidilfitri (Ops HRA) yang diadakan 18 April hingga semalam.

Pengarah JPJ Melaka Muhammad Firdaus Shariff berkata, kesalahan itu dikesan membabitkan tiga lokasi utama operasi iaitu di daerah Melaka Tengah, Alor Gajah dan Jasin.

Katanya, sebanyak 6,702 buah kenderaan yang telah diperiksa dan daripada jumlah itu 1,136 buah kenderaan telah diambil tindakan bagi pelbagai kesalahan.

Jelasnya, antara kesalahan utama yang direkodkan ialah tidak memakai tali pinggang keledar iaitu sebanyak 62 kesalahan, diikuti gagal mematuhi peraturan lampu isyarat (45), lebih muatan atau muatan berbahaya (25) dan tidak memakai tali pinggang atau topi kelendar (12).

“Kesalahan lain yang direkodkan ialah memandu menggunakan telefon bimbit sebanyak tujuh kesalahan dan memotong barisan empat kesalahan.

“Selain itu, JPJ Melaka turut menyita 26 buah kenderaan bagi kesalahan tiada lesen memandu, cukai jalan tamat tempoh atau tiada cukai jalan dan tiada perlindungan insuran.

“Daripada jumlah itu, sebanyak 19 buah kenderaan telah disita sebelum Ops HRA manakala tujuh lagi kenderaan disita selepas Ops HRA dikuatkuasakan,” katanya dalam satu kenyataan.

WhatsApp Image 2023-04-28 at 13.51.37
OPS HRA JPJ Melaka.

Menurut Muhammad Firdaus, sepanjang Ops HRA 2023, JPJ Melaka juga telah menerima 80 aduan daripada pengguna jalan raya menerusi saluran e-Aduan@JPJ.

Katanya, aduan tertinggi yang direkodkan ialah memandu di lorong kecemasan iaitu sebanyak 31 kes dan memotong barisan sebanyak 39 kes aduan.

“Data ini menunjukan pengguna jalan raya menyokong dan menjadi sebahagian daripada anggota penguatkuasa dengan melaporkan kesalahan lalu lintas.
“Semua aduan tersebut disaring dan akan dikeluarkan Notis 114 (Panggilan Temu Siasat) untuk diambil tindakan,” katanya,

Sementara itu, beliau berkata, sepanjang ops berkenaan juga, pihaknya telah menggerak dan memastikan keberadaan pasukan ronda di laluan persekutuan dan negeri yang kerap berlaku kemalangan.

“Ia bagi mewujudkan persepsi positif bagi mengubah tingkah laku pengguna jalan raya dengan mewujudkan persepsi sedang diperhatikan atau dikenali sebagai ‘Perception Of Being Caught (POBC)’,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1320
Kongsi :
Previous post Cuaca panas: Tangguh aktiviti luar bilik darjah – KPM
Next post Trafik sesak: Polis mulakan Op Lancar hingga Isnin
Ubah saiz-+=