ORANG KAMPUNG ASAHAN KONGSI ILMU, GAYA HIDUP

Masa Membaca:1 Minit, 24 Saat

ASAHAN 9 November – Penduduk kampung Dewan Undangan Negeri (DUN) Asahan berkongsi ilmu dan gaya hidup masyarakat kampung bersama pihak universiti menerusi program Budi Watan Asahan Melaka, hari ini.

Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital negeri, Datuk Fairul Nizam Roslan berkata, program itu memberi peluang kepada para pensyarah dan pihak pentadbiran institusi pengajian tinggi (IPT) mengenali tradisi komuniti kampung di Asahan.

“Alhamdulillah DUN Asahan dipilih oleh seramai 200 pensyarah dan pentadbir Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) bagi menjalankan program ini, di mana mereka datang menyantuni dan melakukan aktiviti bersama masyarakat seperti gotong-royong, memasak, membuat kuih tradisional dan lain-lain.

“Penduduk kampung DUN Asahan ini berkongsi ilmu dengan pihak universiti dan kemudian apa yang mereka (pihak UKM) pelajari akan dikongsi pula kepada universiti mereka sendiri apabila pulang nanti.

“Saya amat teruja dengan program ini dan diharap ia dapat diperkembangkan di setiap universiti,” katanya kepada Melaka Hari Ini selepas hadir ke program Budi Watan Asahan Melaka di Masjid Tun Khalil Asahan, di sini, hari ini.

Hadir sama Naib Canselor UKM, Prof. Datuk Gs. Ts. Dr. Mohd Ekhwan Toriman dan para pensyarah serta pentadbir UKM.

Dalam pada itu, Fairul Nizam yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Asahan turut mempelawa mana-mana universiti untuk turun padang ke setiap DUN yang ada di Melaka bagi menjalankan aktiviti berbentuk kemasyarakatan.

“Sudah semestinya dalam program Wakil Rakyat Untuk Rakyat diilhamkan Ketua Menteri, Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh yang dilaksanakan tahun hadapan menggalakkan aktiviti kemasyarakatan sebegini.

“Semua universiti yang secara sukarela datang untuk membantu DUN kita, kita sangat mengalu-alukan, bukan sahaja dalam negeri Melaka, malah dari negeri-negeri lain juga yang sudi membantu,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1063
Kongsi :
Previous post MELAKA-YOGYAKARTA JALIN KERJASAMA PENDIDIKAN, KEAGAMAAN
Next post MELAKA BANTU PRODUK USAHAWAN TEMBUSI PASAR RAYA, STESEN MINYAK
Ubah saiz-+=