Orang ramai patuh SOP ketika membeli-belah

Masa Membaca:1 Minit, 4 Saat

AYER KEROH 29 Mei – Pengawal premis dan pengunjung dilihat terus patuh dengan prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan selepas kerajaan menghadkan jumlah pelanggan dalam pasar raya bagi membendung COVID-19.

Pemantauan pasukan khas Polis Melaka di beberapa pasar raya di negeri ini mendapati orang ramai mematuhi SOP dengan kawalan pengawal keselamatan meskipun Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 sepenuhnya dilaksanakan bermula Selasa ini.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) negeri, Asisten Komisioner Mohd Sukri Kaman berkata, pemantauan pihaknya yang terdiri daripada 10 pasukan mendapati penjaga premis pasar raya dan orang ramai mematuhi SOP ditetapkan.

Katanya, sebuah pasar raya di Melaka Mall menetapkan hanya 200 pelanggan pada satu-satu masa yang dikawal menggunakan sistem kad sebelum memasuki premis.

PETUGAS menggunakan sistem kad untuk mengehadkan jumlah pelanggan di dalam pasar raya pada satu-satu masa.

“Pelanggan berbaris panjang hingga ke luar premis menunjukkan mereka menunggu giliran untuk memasuki premis.

“Hasil pemantauan kita di beberapa premis pasar raya mendapati keadaan terkawal dan orang ramai dilihat mematuhi SOP ditetapkan iaitu menjaga penjarakan fizikal dan mengimbas kod QR menerusi aplikasi MySejahtera.

“Setiap laluan pintu utama premis pasar raya dikawal oleh pengawal keselamatan bagi memantau jumlah kemasukan pengunjung dalam premis terbabit,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1069
Kongsi :
Previous post Penjaja rugi dah ‘standby’ beli stok awal
Next post Ambil pengajaran PKP 1.0, tiada belian panik dalam kalangan pengguna di Melaka
Ubah saiz-+=