Sorting by

×

PAIDAG komited tingkatkan pengetahuan wanita

Masa Membaca:1 Minit, 4 Saat

ALOR GAJAH 15 Sept. – Pelbagai inisiatif dilakukan Pejabat Agama Islam Daerah Alor Gajah (PAIDAG) dalam mendidik serta meningkatkan pengetahuan golongan wanita bagi melengkapkan diri menjadi wanita solehah.

Penolong Pegawai Hal Ehwal Islamnya, Shahrir Ashraf Azmi berkata, selain program seperti ceramah, seminar Muslimah Solehah yang diadakan juga antara platform dikenal pasti dapat berkongsi ilmu.

Menurutnya, seminar julung kali diadakan ini adalah panduan ke arah membentuk dan memenuhi keperluan rohani yang menjurus kepada pembentukan wanita solehah.

“Seminar ini adalah bertujuan menyampaikan wadah ilmu kepada peserta wanita dalam membimbing diri serta memberi pendedahan dalam mempersiapkan diri kepada kaum hawa menjadi ibu mithali dan isteri solehah.

“Malah ia memberi panduan dalam menjaga aurat serta maruah diri seorang wanita yang sekali gus dapat menggembirakan hati suami selain menjadi ahli masyarakat,” katanya.

Sementara itu, bagi peserta seminar, Sharifah Mohd Dom berkata, program seminar dianjurkan ini memberi peluang peserta dan penceramah berkongsi ilmu serta pendapat dalam memperbaiki diri menjadi yang lebih baik.

“Saya bersyukur kerana diberi peluang untuk bersama-sama dalam majlis ilmu ini malah pencemarah yang diundang juga amat berkebolehan,” katanya.

Terdahulu, lebih 350 peserta menyertai seminar yang disampaikan personaliti dakwah terkenal Ustazah Asma Harun.

Seminar itu anjuran bersama Majlis Agama Islam Melaka (MAIM), Lembaga Kebajikan Perempuan Islam Daerah Alor Gajah (LKPI) dan Jawatankuasa Masjid Ar-Rasyidin Daerah Alor Gajah.

Views:

348
Kongsi :
Previous post Ibu bapa pamer semangat patriotik
Next post Warga Myanmar mati tergantung
Ubah saiz-+=