Ibu bapa pamer semangat patriotik

Masa Membaca:1 Minit, 59 Saat

AYER LIMAU 15 Sept – Bukan hanya murid tabika yang bersemangat patriotik menggayakan pakaian berkonsep Jalur Gemilang, ibu bapa mereka juga tidak mahu ketinggalan mempamerkan semangat cinta akan tanah air.

Jika pada kebiasaannya, murid tabika menggayakan pakaian beragam tetapi di Tabika Perpaduan Taman Datuk Tamby Chik Karim Masjid Tanah, di sini ibu bapa turut berbuat demikian bagi mempamerkan semangat patriotik.

Selepas anak masing-masing menggayakan pakaian berkonsepkan sambutan Hari Kebangsaan dan penubuhan Malaysia, ibu bapa pula mengambil tempat di atas pentas untuk menggayakan pelbagai pakaian berkonsepkan kepebagaian kaum di negara ini.

Mereka berbuat demikian pada Penutup Sambutan Kemerdekaan Tabika berkenaan hari ini yang turut dihadiri Penolong Pegawai Perpaduan, Unit Pendidikan Awal Kanak-kanak negeri, Norsham Jantan, selain guru tabika, Mahyum Ahmad dan Masitah Sulong.

Mohd Adam Abdullah, 36, berkata beliau dan isteri, Norain Zulkapli, 31, serta anak, Mohd Danish yang berusia enam tahun menggayakan pakaian tradisional masyarakat Kadazan di Sabah bagi memeriahkan program itu dan mempamerkan semangat cinta dan kasih terhadap tanah air.

“Pakaian ini saya bawa dari tempat kelahiran saya di Telupid, Sabah ketika mula merantau di negeri ini dan bertemu jodoh di sini,” katanya ketika ditemui pada program itu hari ini.

Jamira Azura Jamaluddin, 38, berkata beliau menggayakan pakaian sari masyarakat India bagi mempamerkan kepelbagaian kaum yang mampu hidup dalam keadaan aman dan harmoni serta bertoleransi.

“Suami, Md Khairul Idris tidak keberatan menyertai program ini demi anak kami yang turut menggayakan pakaian berkonsep Jalur Gemilang kerana kami amat sayang akan negara tercinta ini,” katanya.

Syafiqah Md Ayob, 32, berkata beliau mengeluarkan kos menyewa pakaian masyarakat Cina semata-mata untuk mempamerkan sifat keterbukaan masyarakat Melayu terhadap seni dan budaya masyarakat lain asalkan ia tidak melanggar syariat.

“Saya selesa menggayakan pakaian tradisional masyarakat Cina bagi menambah seri program ini dan sempena hari penubuhan Malaysia esok,” katanya.

Rashidah Md Isa, 36, yang menggayakan pakaian tradisional etnik Kadazan, berkata beliau menyewa pakaian berkenaan daripada rakannya yang berasal dari Sabah semata-mata bagi membuktikan kasih dan sayangnya kepada negara.

“Saya bangga dapat menggayakan pakaian etnik Kadazan walaupun saya sendiri bukan berasal dari Sabah kerana semua etnik di negara ini adalah rakyat Malaysia,” katanya.

Sementara itu, Mahyum berkata, selain murid tabika, ibu bapa turut diberikan peluang menjayakan program berkenaan sebagai menghargai sumbangan mereka kepada perpaduan kaum.

Walaupun tidak menjawat jawatan tinggi dalam sektor awam atau swasta, ibu bapa murid terbabit turut berjasa dalam memelihara perpaduan dan keharmonian kaum di negara ini, katanya.

Views:

862
Kongsi :
Previous post Melaka dipilih bangunkan Program Smart Grid
Next post PAIDAG komited tingkatkan pengetahuan wanita
Ubah saiz-+=