Panggung Bangsawan Melaka bakal dibuka semula

Masa Membaca:1 Minit, 24 Saat

BANDARAYA MELAKA 5 Mac – Panggung Bangsawan di Jalan Munshi Abdullah akan dibuka semula dengan wajah baharu beserta pengisian yang lebih menarik pada pertengahan April depan.

Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Melaka (MCorp), Datuk Mohd Yusof Abu Bakar berkata, pihaknya telah menjalankan kerja-kerja penambahbaikan dengan kos keseluruhan berjumlah RM900,000.

Beliau berkata, MCorp telah diberi tanggungjawab menjalankan kerja-kerja penambahbaikan sejak Disember lalu selepas mengambil alih panggung berkenaan daripada Perbadanan Ketua Menteri (CMI) pada tahun lalu.

“Kerja-kerja penambahbaikan telah siap dan dijangka segala program akan bermula selepas Aidilfitri ini.

“Kita merancang untuk membuat pra pelancaran dan pelancaran semula juga akan diadakan secara besar-besaran dengan pengisian yang lebih menarik untuk menggamit lebih ramai pengunjung ke sini.

“Selain itu, kafe dan galeri menjual cenderamata sempena Tahun Melawat Melaka 2024 (TMM2024) juga akan dibuka,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada Melaka Hari Ini ketika mengadakan lawatan tapak ke Panggung Bangsawan, di sini, semalam.

Hadir sama, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif MCorp, Datuk Lim Chow Beng.

Menurut Mohd Yusof, selain penambahbaikan dari sudut dalaman panggung, pihaknya turut mengubah suai konsep dalaman mengikut kesesuaian semasa.

Jelasnya, MCorp turut bakal menjalin kerjasama dengan pelbagai pihak untuk menganjurkan pelbagai program dengan lebih kerap di panggung terbabit.

“Panggung ini berkapasiti 400 orang pada satu masa dan konsep dalaman berhawa dingin yang lebih mesra pengunjung.

“Kita juga merancang untuk bekerjasama dengan beberapa agensi seperti Perbadanan Pembangunan Sungai dan Pantai Melaka (PPSPM) untuk menggamit pengunjung ke Panggung Bangsawan,” katanya.

Untuk rekod, Panggung Bangsawan didirikan di atas tapak panggung tertua di negeri ini dan telah dirasmikan pada 1 Oktober 2016 oleh Yang di-Pertua Negeri Melaka Ke-6, Tun Dr. Mohd Khalil Yaakob.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

566
Kongsi :
Previous post Melaka sasar 41,900 Rumah Mampu Milik menjelang 2030
Next post Sidang DUN Melaka penggal ketiga buka tirai secara rasmi
Ubah saiz-+=