Panik kali pertama banjir

Masa Membaca:1 Minit, 47 Saat

BUKIT KATIL, 22 Nov. – “Walaupun air tidak tinggi mana dan melimpah masuk ke bahagian dapur dan tempat letak kereta bahagian hadapan rumah sahaja namun keadaan ini amat mencemaskan.

“Mungkin kerana ini pengalaman pertama berdepan dengan situasi banjir sebegini sehingga terpaksa berpindah keluar,” kata mangsa  banjir di Taman Tuah Perdana, Nur Amira Fifa Hussin, 32.

KETUA Jabatan Siasatan Penguatkuasaan Trafik Melaka Superintendan Hasan Basri Yahya bertanya khabar situasi banjir kepada Konstable Khairuddin Abdullah susulan rumahnya dinaiki air.

Menurutnya, sepanjang menetap di taman perumahan itu, ini kali pertama kediaman penduduk di situ dinaiki air sehingga penduduk diarahkan berpindah ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) ekoran dibimbangi paras air akan naik.

Katanya, dia dan suami langsung tidak menjangka hujan lebat berpanjangan sejak pagi semalam akan menyebabkan dapur rumah mereka dinaiki air.

“Biasanya kalau hujan lebat berpanjangan hanya air longkang sahaja akan penuh semalam kira-kira jam 6 petang apabila air sudah mula masuk ke dapur suasana agak panik.

“Dengan dibantu anak-anak saya cuba berkemas apa yang patut sebelum diminta berpindah ke PPS sebelum bekalan elektrik di kawasan perumahan dipotong sementara,” katanya.

Terdahulu suaminya yang bertugas di sebagai polis trafik di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Melaka menerima lawatan kebajikan daripada Ketua Jabatan Siasatan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) negeri Superintendan Hasan Basri Yahya.

Bagi seorang lagi penduduk Ruzaini Azhan Kemuradin, 41, berkata, sepanjang tujuh tahun tinggal di situ, ini kali pertama taman perumahan berkenaan dinaiki air.

“Sebelum ini sekiranya hujan berterusan selama tiga hari tiga malam kami penduduk tidak risau kerana tidak jauh dari sini terdapat kolam tadahan banjir seluas kira- kira 0.4 hektar.

“Walaupun tidak sangka akan berhadapan dengan keadaan sebegini, kami bersyukur kerana semuanya selamat tiada sebarang kemalangan jiwa berlaku,” katanya.

Bagi seorang lagi penduduk Al Muzamil Hadip, 34, berkata,  dia bersama sembilan lagi ahli keluarganya kini menumpang di rumah seorang kenalannya.

“Alhamdulillah ada kenalan yang sudi tumpangkan kami. Dengan keadaan sekarang agak risau untuk saya membawa anak berusia baru sebulan dan ayah yang baru sembuh dari strok ke PPS.

“Cuma berharap agar hari ini tidak hujan lagi dan air sungai akan turun supaya kami dapat pulang ke rumah,” katanya.

Views:

563
Kongsi :
Previous post Warga Johor ambil kesempatan bercuti di Melaka
Next post Takziah buat keluarga Aishahton
Ubah saiz-+=