Pantai Siring berubah wajah 10 tahun lagi

Masa Membaca:2 Minit, 57 Saat

SERKAM 7 Januari – Dalam tempoh 10 tahun lagi, Pantai Siring di bawah Dewan Undangan Negeri (DUN) Serkam bakal ditransformasi menjadi kawasan pelancongan baharu Negeri Melaka.

Jika sebelum ini, kawasan itu lebih sinonim sebagai perkampungan nelayan, suasana itu bakal berubah 360 darjah melalui pelan transformasi yang direncana Kerajaan Negeri.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Serkam Datuk Zaidi Attan berkata, pelan pembangunan Pantai Siring bermula pada 2018 selepas ia diluluskan pada Bajet Negeri Melaka ketika itu.

Menurutnya, pembangunan itu bakal melibatkan tiga fasa yang direncana secara tersusun bagi memastikan agenda itu dapat dilakukan mengikut jangka masa ditetapkan

BUKA JALAN BAHARU

Menurut Zaidi, untuk fasa pertama, kerja-kerja naik taraf infrastruktur, termasuk mewujudkan jalan baharu ke Pantai Siring antara yang diberi keutamaan.

Katanya, ia membabitkan kos berjumlah RM30 juta yang mana, proses pengambilan tanah bagi mewujudkan jajaran baharu sedang berlaku pada ketika ini.

“Sementara menunggu proses pengambilan tanah, kita mengambil kaedah membesarkan jalan secara izin lalu.

“Seterusnya, apabila pengambilan tanah selesai, barulah kita merangka proses bina jalan baharu yang dianggarkan bernilai RM30 juta,” katanya.

2
ZAIDI ketika meninjau lokasi pembangunan baharu di Pantai Siring. Foto Iqmal Haqim Rosman

PELANTAR TERAPUNG

Jelas Zaidi, bagi fasa kedua nanti, kerja-kerja membangunkan MyPantaiSiring akan bermula selepas ia disebut pada pembentangan Bajet 2023 Negeri Melaka, Disember lalu.

Katanya, MyPantaiSiring merupakan projek membangunkan pelantar terapung sejauh 500 meter dengan lebar kira-kira 80 meter oleh Melaka Corporation (MCorp) atau dahulu dikenali sebagai Perbadanan Kemajuan Negeri Melaka (PKNM).

Zaidi berkata, pelantar itu akan dibangunkan enam unit kedai atas air, selain menjadi tapak untuk kendera saji (foodtruck) pada setiap hujung minggu sebagai penarik di kawasan itu.

“Di samping itu, kita juga akan mewujudkan tempat untuk membekukan hasil laut yang mana pengunjung dari luar Melaka yang ingin membeli bahan mentah boleh meletakkan barangan mereka di ‘freezer’ yang kita tempatkan dan bahan mentah itu akan beku dalam tempoh satu jam.

“Jadi, dengan cara ini pengunjung boleh membeli hasil laut dengan mudah tanpa perlu bersusah payah,” katanya.

Beliau yang juga Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Alam Sekitar negeri berkata, kerja-kerja bagi pembangunan fasa 2 itu dijangka membabitkan kos sekitar RM67 juta.

4
ZAIDI ketika melawat tapak restoran terapung di Kampung Pulai.

PANTAI BAHARU

Bagi fasa terakhir, Zaidi memaklumkan ia akan melibatkan pembangunan pantai baharu menerusi tambakan laut.

Katanya, pantai baharu itu bakal menjadi penarik kehadiran pelancong memandangkan kawasan pesisir pantai di Selatan Semenanjung Malaysia sudah semakin terhad.

“Jadi kewujudan pantai baharu inilah yang akan menjadi potensi pelancongan Melaka pada masa akan datang dalam menarik kehadiran pengunjung.

“Pada masa sama, ia juga bakal meningkatkan aktiviti ekonomi masyarakat di kawasan luar bandar yang mana kita menyasarkan kesemua fasa ini mampu direalisasikan dalam tempoh 10 tahun akan datang,” katanya.

5
ZAIDI

BIODATA

Nama: Datuk Zaidi Attan
Umur: 53

Karier:-
– Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Alam Sekitar (2021 – kini)
– Ahli Dewan Undangan Negeri Serkam (2021 – kini)
– Timbalan Pengerusi Syarikat Air Melaka Berhad

Pendidikan:-
– Sarjana Muda Kejuruteraan Elektrik Universiti Teknologi Malaysia

Politik:-
– Naib Ketua UMNO Bahagian Jasin (2018 – kini)
– Ketua Penerangan UMNO Bahagian Jasin (2013 – 2018)
– Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Jasin (2009 – 2013)

INFO DUN SERKAM

Jumlah pengundi : 20,392

Kampung : 14
Taman Perumahan : 25

Rumah Ibadat:-
Masjid: 9
Surau: 30
Tokong: 3
Kuil: 1

Institusi Pendidikan:-
Sekolah Kebangsaan: 7
Sekolah Menengah: 2
Sekolah Rendah Agama JAIM: 9
Sekolah Jenis Kebangsaan Cina: 1
Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil: 1
Pendidikan Khas – 3

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

9869
Kongsi :
Previous post KBS sambut baik tawaran stadium dari Tunku Ismail
Next post Tuisyen percuma untuk anak-anak Rim
Ubah saiz-+=