Paramedik Komuniti lahirkan ‘hero’ rakyat Melaka

Masa Membaca:2 Minit, 1 Saat

MERLIMAU 17 Disember – Inisiatif Paramedik Komuniti hasil cetusan idea Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh membuktikan Kerajaan Negeri cakna terhadap kepentingan kesihatan awam.

Exco Kemajuan Desa, Pertanian dan Keterjaminan Makanan negeri Dr. Muhamad Akmal Saleh berkata, menerusi inisiatif itu, seramai kira-kira 1,000 sukarelawan akan diberi ilmu asas paramedik dan dibekalkan peralatan perubatan untuk memberi bantuan awal sekiranya berlaku kes-kes kecemasan.

Menurut beliau, inisiatif itu juga secara tidak langsung dapat melahirkan adiwira dalam kalangan rakyat Melaka sendiri yang dapat membantu pada bila-bila masa ketika diperlukan.

“Kita ada lebih 300 kampung di seluruh Negeri Melaka dan setiap kampung disasarkan mempunyai tiga sukarelawan Paramedik Komuniti yang ditempatkan di bawah Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK).

“Inisiatif ini memberi suatu gambaran bahawa Kerajaan Negeri amat mementingkan soal kesihatan rakyat yang mana selain menyediakan ambulans percuma untuk B40, kita juga mempunyai Paramedik Komuniti yang bukan sahaja memberi bantuan kecemasan awal, bahkan sedikit sebanyak dapat mengurangkan bebanan petugas kesihatan.

“Ini merupakan pertama kali diwujudkan di Malaysia yang mana ia bakal memberi kesedaran bahawa rakyat boleh menjadi ‘hero’ kepada rakyat dan ia juga boleh dijadikan contoh kepada negeri-negeri lain,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas hadir ke Majlis Rumah Terbuka Deepavali Bahagian Jasin 2023 di Merlimau Night Market, Bandar Baru Merlimau Utara, di sini, malam tadi.

Img 20231217 012631 401
DR. Muhamad Akmal dan Siti Faizah bergambar bersama masyarakat India yang hadir ke Majlis Rumah Terbuka Deepavali Bahagian Jasin 2023 di Merlimau Night Market, Bandar Baru Merlimau Utara.

Hadir sama, Timbalan Exco Kesihatan, Sumber Manusia dan Perpaduan negeri Siti Faizah Abd Azis.

Mengulas lanjut, Dr. Muhamad Akmal yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Merlimau berkata, buat masa ini, seramai 30 sukarelawan telah dilatih dan akan diperkenalkan pada sambutan Tahun Melawat Melaka 2024 (TMM2024) dan Ambang Tahun Baharu pada 31 Disember ini.

Katanya, selain berkhidmat di kampung-kampung, sukarelawan Paramedik Komuniti juga akan ditempatkan di kawasan tumpuan pelancong bagi memberi gambaran jelas bahawa Negeri Melaka merupakan destinasi selamat untuk dilawati.

“Bermula Januari 2024, kita akan mula melatih lebih ramai sukarelawan dengan modul khas yang telah disediakan sehinggalah mereka cekap sebelum ditempatkan sebagai petugas.

“Kita juga akan membuka pendaftaran secara dalam talian kepada yang berminat, tidak kiralah mereka petugas perubatan atau bukan, selagi mana mereka berminat kita akan bekalkan mereka dengan ilmu yang diperlukan untuk membantu rakyat,” katanya lagi.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1015
Kongsi :
Previous post Lukisan, mural ubah wajah bangunan usang di Banda Hilir – KM
Next post Lebih 70 bangunan berwarna-warni hiasi Sungai Melaka
Ubah saiz-+=