‘Parti musibat inilah letakkan siapa dia sekarang’

Masa Membaca:2 Minit, 4 Saat

DUYONG 9 Mac – Naib Ketua Srikandi Bersatu, Datuk Mas Ermieyati Samsudin diminta agar tidak lupa diri apabila mengelar UMNO sebagai musibat.

Ketua Pemuda UMNO Kota Melaka, Mohd Noor Helmy Abdul Halem berkata, Mas Ermieyati boleh berkata apa-apa sahaja namun pada masa yang sama beliau perlu menyedari dari mana beliau datang sebelum ini.

Menurutnya, sehebat mana beliau berada sekarang, parti yang digelar musibat itulah yang meletakkan beliau pada tahap sekarang.

“Beliau boleh cakap apa sahaja namun hakikatnya beliau perlu sedar dari mana datang hebat beliau itu jika tidak dari musibat yang jadikan beliau itu pada hari ini.

“Mereka ini seolah tiada modal lagi nak cakap padahal banyak lagi perkara dan isu rakyat yang lebih penting,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada Melaka Hari Ini (MHI) sewaktu ditemui selepas mengedarkan 500 kuntum bunga kepada peniaga pasar malam Duyong dan kedai sekitarnya sempena sambutan Hari Wanita Sedunia semalam.

MOHD Nor Helmy menyantuni peniaga di Pasar Malam Duyong.

Mas Ermieyati mengeluarkan kenyataan mengelar UMNO sebagai musibat ketika berucap pada Majlis Santai Bersama Tan Sri Muhyiddin Yassin di Kompleks PAS Batu Pahat, baru-baru ini.

Dakwa beliau UMNO dan Barisan Nasional (BN) menjadi dalang yang mencetuskan Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka dan Johor.

Beliau turut mendakwa UMNO gagal memberi sumbangan signifikan selepas menang PRN Melaka kecuali berjaya menukarkan nama Bukit St. Paul kepada Bukit Melaka.

Mengulas isu Bukit Melaka yang dibangkitkan, Mohd Noor Helmy berkata, hal berkaitan sejarah tidak seharusnya dijadikan modal politik.

Katanya, pihak berwajib dalam perkara itu seperti pakar sejarah dan Perbadanan Muzium Melaka (PERZIM) yang lebih wajar membincangkan pertukaran nama asal Bukit Melaka.

“Biarlah pihak-pihak ini menjalankan tanggungjawab dan tugas mereka lagi pun bukan UMNO yang timbulkan isu ini.

“Kalau UMNO mahu cari populariti, sudah lama kita tukar nama Bukit St Paul ini kepada nama pemimpin sendiri.

“Saya pun tidak tahu mengapa pihak-pihak ini marah sangat, PERZIM cuma kembalikan nama asal Bukit Melaka sahaja, mungkin bila ia dikaitkan dengan politik, jadi semua orang sensitif,” ujarnya.

Impaknya kata beliau, sesi Sidang Dewan Undangan Negeri baru-baru ini yang sepatutnya membahaskan isu rakyat yang lebih penting akhirnya terbuang bagi menjelaskan tentang sejarah Bukit Melaka.

“Taakan kita tetap mahu menggunakan nama yang ditinggalkan penjajah sedangkan pada asalnya nama Bukit St Paul adalah Bukit Melaka.

“Sepatutnya sebagai anak Melaka dan rakyat negara ini, tugas kita untuk mencari dan belajar sendiri sejarah negara dan bukan mengaitkannya dengan politik,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1165
Kongsi :
Previous post ‘Kami tunggu pelancong luar negara datang Melaka’
Next post Sempadan dibuka: MATA sedia pelbagai pakej promosi tarik pelancong luar
Ubah saiz-+=