Pasang CCTV bantu turunkan kes pecah rumah
AYER KEROH 26 April – Pemilik kediaman diingatkan agar tidak bersikap ambil mudah sebaliknya mengutamakan kualiti sistem atau alat keselamatan dipasang di premis mereka.
Ketua Polis Melaka Datuk Zainol Samah berkata, kualiti alat keselamatan seperti sistem kamera litar tertutup (CCTV) dan kunci bukan sahaja menyukarkan penjenayah menceroboh kediaman sebaliknya memudahkan usaha polis mengesan pelaku berkenaan.
Beliau berkata, dalam menangani kes jenayah seperti pecah rumah ia bukan sahaja tugas dan tanggungjawab polis sebaliknya pemilik kediaman juga perlu ada sikap mengambil berat keatas harta benda mereka.
“Jika kita lihat modus operasi penjenayah sejak daripada dulu hingga kini sama sahaja antaranya memotong mangga kunci dan umpil pintu.
“Contohnya di rumah apabila guna mangga yang berkualiti tidak mudah pecah ianya akan menyukarkan penjenayah untuk bolos masuk,” katanya pada sidang media selepas Majlis Pelancaran Op Selamat 18 Peringkat Melaka, di Dataran Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) hari ini.
Menurutnya kedudukan CCTV di kediaman juga perlu dititik beratkan agar alat peranti itu dapat membantu polis sekiranya berlaku kejadian jenayah.
“Contoh bila berlaku pecah rumah, ada yang maklum kediaman sudah ada CCTV tetapi mereka persoalkan kenapa polis tidak boleh cari suspek dan tangkap.
“Ini kerana apabila polis melihat rakaman itu dengan gambar tidak berapa hendak jelas jadi carilah yang resolusi yang tinggi, gambar jelas kelihatan,” katanya.
Mengulas lanjut Zainol berkata, pemilik kediaman juga disarankan supaya mendapatkan pandangan daripada polis mengenai lokasi pemasangan kedudukan CCTV yang sesuai dirumah mereka.
“Kadang-kadang ada yang pasang juga tetapi tidak membantu siasatan kerana dia pasang di tempat lain yang tidak sesuai.
“Jadi apabila polis pergi ke kediaman, kita boleh cadangkan alat peranti itu untuk diletakkan di mana,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.