Pasangan jarak jauh boleh rentas negeri mulai esok- Ismail Sabri

Masa Membaca:1 Minit, 24 Saat

KUALA LUMPUR 26 Jan. – Mulai esok, pasangan suami isteri jarak jauh yang berada di lokasi di bawah Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dibenar merentas negeri untuk pulang berjumpa pasangan masing-masing.

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, menerusi sidang khas Majlis Keselamatan Negara (MKN) semalam, kerajaan bersetuju memberi kelonggaran itu namun pasangan terbabit perlu mendapat kebenaran polis terlebih dahulu.

“Atas nasihat Kementerian Kesihatan (KKM), kerajaan setuju untuk membenarkan pasangan suami isteri yang berjauhan disebabkan bekerja untuk merentas negeri bertemu keluarga masing-masing dengan syarat mendapat kebenaran dan kelulusan polis.

“Sama seperti yang lain-lain, kalau ada kes kecemasan memang kita benarkan tetapi perlu maklum kepada polis dan dapatkan kebenaran terlebih dahulu,” katanya pada sidang media mengenai perkembangan PKP di sini hari ini.

Bagaimanapun, Ismail Sabri yang juga Menteri Pertahanan menasihati mereka yang bergejala sama ada mendapatkan rawatan terlebih dahulu, membuat saringan atau sebaik-baiknya menangguhkan perjalanan sehingga sihat.

Ismail Sabri juga berkata, 482 individu ditahan kerana ingkar arahan PKP semalam dan daripada jumlah itu, 444 orang dikompaun manakala 38 lagi direman.

“Antara kesalahan direkodkan tiada penjarakan fizikal (123), tidak memakai pelitup muka (114), gagal menyediakan peralatan, tidak merekod butiran diri pelanggan (72), rentas daerah dan negeri tanpa kebenaran (53) dan lain-lain (120),” katanya.

Bagi Op Benteng, beliau berkata tiga pendatang tanpa izin ditahan dan empat kenderaan darat dirampas.

Mengenai ujian saringan pekerja asing, seramai 7,796 orang selesai menjalani ujian berkenaan dan daripada jumlah itu, 82 disahkan positif COVID-19.

Sejak 24 April tahun lalu pula, seramai 109,989 individu pulang ke tanah air dan mereka ditempatkan di 75 hotel serta 14 Institut Latihan Awam (ILA) dan Institut Pengajian Swasta di seluruh negara untuk kuarantin wajib.

Views:

375
Kongsi :
Previous post ‘Air sekejap ada, sekejap tiada’
Next post 99.7 peratus premis perniagaan di Malaysia patuh SOP PKP
Ubah saiz-+=