Pasar Terapung himpun peniaga pelbagai etnik – Exco

Masa Membaca:1 Minit, 19 Saat

SERI NEGERI 31 Julai – Pasar terapung atau ‘floating market’ sedang dalam perancangan bakal memberi peluang kepada 90 peniaga makanan dan produk kraftangan dalam kalangan pelbagai etnik di Negeri Melaka menjana pendapatan.

Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri, Datuk Abdul Razak Abdul Rahman berkata, setakat ini kerja-kerja awalan sedang dilaksanakan bagi mendapatkan kelulusan daripada aspek teknikal mengenai perancangan tapak dan reka bentuk pasar itu.

“Cadangan kita kawasan ini adalah menjual makanan dan kraftangan dengan mengetengahkan produk etnik-etnik di Negeri Melaka seperti Melayu, Cina, India, Portugis serta Baba dan Nyonya.

“Pasar Terapung membabitkan 30 bot ini akan ditempatkan di kawasan Stesen Water Taxi Taman Lagenda, setelah kerja-kerja pengindahan dan pembersihan Sungai Melaka Fasa 2 siap sepenuhnya.

“Manakala sebanyak 60 kiosk perniagaan di tebing Sungai Melaka dan sebuah restoran terapung turut dirancang sebagai tarikan baharu untuk pelancong,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan lisan Low Chee Leong (PH-Kota Laksamana) mengenai pengoperasian Pasar Terapung Melaka pada hari pertama Persidangan Kedua, Penggal Kedua, Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka Yang ke-15 di Dewan Undangan Negeri, Seri Negeri, di sini, hari ini.

Abdul Razak berkata, Perbadanan Pembangunan Sungai dan Pantai Melaka (PPSPM) juga sedang merancang untuk menempatkan sebanyak 10 buah bot berbumbung di Stesen Pengkalan Rama sebagai pilot projek 2024.

“Semua bot berbumbung ini berkonsep moden yang ditempatkan di sepanjang 120 kaki Sungai Melaka Fasa 2 iaitu berhadapan jeti Pengkalan Rama.

“Insya-Allah projek ini akan memberi peluang kepada sekurang-kurangnya peniaga kecil yang kreatif dan berinovatif yang ada di negeri ini,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1541
Kongsi :
Previous post Kuota 30 peratus untuk anak Melaka di Petronas
Next post MOCAN alternatif atasi isu telekomunikasi luar bandar
Ubah saiz-+=