Pasca banjir: RM11 juta diperlukan baik pulih kerosakan di Melaka – KM

Masa Membaca:1 Minit, 19 Saat

ALOR GAJAH 29 Dis – Kerajaan negeri memerlukan peruntukan kira-kira RM11 juta bagi membaik pulih segala kerosakan yang berlaku akibat bencana banjir yang melanda negeri ini.

Ketua Menteri Datuk Seri Utama Sulaiman Md Ali berkata peruntukan itu termasuklah memgambil kira sistem perparitan, menaik taraf longkang selain jalan raya yang rosak.

“Mengenai kemudahan awam yang memerlukan pembaikan melibatkan sistem perparitan, menaik taraf longkang dan cerun serta jalan raya, anggaran awal kita perlukan sebanyak RM11 juta.

“Itu maklumat terkini, yang mana Melaka memerlukan RM11 juta, manakala seluruh Malaysia dianggarkan RM1 bilion diperlukan.

“Di Melaka kerja-kerja pembaikan ini ada yang sudah dijalankan seperti contoh di Lubok China, namun, ada juga yang masih memerlukan peruntukan memandangkan ada kawasan yang difahamkan terdapat ban pecah dan sebagainya,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyampaikan sumbangan Bencana Banjir Monsun Timur Laut (MTL) Daerah Alor Gajah di Dewan Pejabat Daerah dan Tanah Alor Gajah di sini, hari ini.

Hadir sama Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Ts Kamel Mohamad.

Jelasnya, peruntukan itu membabitkan sebanyak 58 projek pembaikan yang menggunakan khidmat jabatan serta agensi kerajaan negeri.

“Pembaikan ini melibatkan keempat-empat berkuasa tempatan (PBT) di Melaka serta Pejabat Daerah Jasin (PDJ),” katanya.

Terdahulu Sulaiman menyampaikan sumbangan bencana banjir kepda seramai 215 Ketua Isi Rumah (KIR) dari tujuh kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) tersebut.

Sumbangan itu meliputi penduduk terjejas di kawasan Ayer Limau, Rembia, Machap Jaya, Gadek, Tanjung Bidara, Taboh Naning dan Durian Tunggal yang mana setiap penerima diberikan Bantuan Wang Ihsan (BWI) sebanyak RM1,000 daripada Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA).

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

695
Kongsi :
Previous post JKM belanja RM35 juta, gerakkan lebih 3,000 petugas bantu mangsa banjir – Zailah
Next post Lelaki maut ditetak abang kemurungan
Ubah saiz-+=