PBT Melaka akan kompaun individu buang sampah dari kenderaan

Masa Membaca:1 Minit, 25 Saat

PAYA RUMPUT 8 April – Kesemua empat Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) di Negeri Melaka akan mempergiatkan operasi bagi mengekang gejala pembuangan sampah dari kenderaan.

Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri Datuk Rais Yasin berkata, operasi yang dinamakan ‘Ops Tangan Sampah’ itu diberi penekanan dalam memastikan Melaka kekal menjadi antara negeri terbersih, khususnya sepanjang musim perayaan.

Jelas beliau, penguatkuasaan itu bukan hanya membabitkan pembuangan sampah dari kenderaan, bahkan ia turut terpakai kepada mereka yang membuang sampah merata-rata di mana-mana lokasi, khususnya kawasan pelancongan.

“Kesalahan ini termaktub di bawah undang-undang kecil PBT iaitu Akta 133 yang boleh memperuntukkan kompaun RM250 hingga RM500.

“Kita mempergiatkan operasi bagi menyahut seruan Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT) yang menitik beratkan isu pembuangan sampah dari kenderaan ini.

“Jadi kita menyeru kepada rakyat, pengunjung dan pelancong yang datang ke Melaka agar bersama-sama menjaga kebersihan negeri ini, terutama sepanjang musim Hari Raya Aidilfitri ini,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada Majlis Penyampaian Sumbangan Aidilfitri Dewan Undangan Negeri (DUN) Paya Rumput 2024M/1445H di Dewan MBMB Bunga Tanjung, Tanjung Minyak, di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Rais yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Paya Rumput berkata, orang ramai boleh menjadi mata-mata dengan menyalurkan aduan secara terus kepada semua empat PBT di Melaka sekiranya mengesan individu yang melakukan perbuatan tidak bertanggungjawab itu.

“Mereka boleh merakam gambar atau video dan menghantarnya secara terus menerusi laman sesawang atau platform media sosiap PBT di Melaka dan tindakan segera akan diambil.

“Malah, pada Aidilfitri ini juga, anggota penguatkuasa akan terus membuat pemantauan bagi memastikan perkara ini (pembuangan sampah merata-rata) tidak berlaku di Negeri Melaka,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

88
Kongsi :
Previous post Ketupat, pelita gergasi hiasi Kampung Hutan Percha
Next post Tak sangka beli baju raya boleh menang BMW
Ubah saiz-+=