Tak sangka beli baju raya boleh menang BMW

Masa Membaca:1 Minit, 16 Saat

KLEBANG 8 April – Tuah ayam nampak di kaki, tuah manusia siapa yang tahu, itu terjadi kepada pemenang cabutan bertuah Glam Bazar Ramadan Klebang 2024 yang berjaya memandu pulang sebuah kereta mewah BMW3i.

Mohammad Helmi Mohamad, 32 yang berasal dari Bukit Rambai tidak menyangka bakal menerima hadiah raya paling bermakna selepas berbelanja di bazar berkenaan untuk membeli kelengkapan raya buat isteri dan anak-anaknya.

Menurutnya, ketika dimaklumkan memenangi hadiah tersebut, dia pada awalnya menyangkakan ia adalah satu gurauan, namun tidak sangka, namanya benar-benar bertuah apabila dipilih dalam kalangan ratusan ribu penyertaan.

“Saya berbelanja RM700 secara keseluruhan untuk enam orang ahli keluarga termasuk saya, isteri dan anak-anak.

“Yang mengisi borang, masukkan resit dan borang ke dalam balang adalah isteri, ketika dimaklumkan nama saya terpilih, dia yang paling gembira.

“Alhamdulillah, syukur bukan sahaja dapat baju raya bahkan kereta raya,” ujarnya berseloroh.

Dia berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas majlis penyampaian hadiah yang disampaikan Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh, malam tadi.

Hadir sama, Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri Datuk Rais Yasin; Timbalan Exco Pembangunan Usahawan Koperasi dan Hal Ehwal Pengguna negeri Tuminah Kadi @ Mohd Hasim; Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Klebang Datuk Lim Ban Hong; Datuk Bandar Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) Datuk Shadan Othman dan lain-lain kenaman.

Untuk rekod, Glam Bazar Klebang menawarkan hadiah keseluruhan kepada pengunjung bernilai RM71,000 termasuk dua buah kereta iaitu BMW 320i dan Perodua Axia beserta tiga buah motosikal.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

235
Kongsi :
Previous post PBT Melaka akan kompaun individu buang sampah dari kenderaan
Next post Sinar lebaran buat warga DUN Paya Rumput
Ubah saiz-+=