Ketupat, pelita gergasi hiasi Kampung Hutan Percha

Masa Membaca:1 Minit, 3 Saat

MACHAP JAYA 8 April – Replika ketupat dan pelita gergasi setinggi hampir dua meter menjadi tarikan di Laman Cahaya Lebaran di Taman Selesa, Kampung Hutan Percha, di sini, bersempena lebaran tahun ini.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Machap Jaya Ngwe Hee Sem berkata, hiasan Laman Cahaya Lebaran kali itu merupakan tahun ketiga diadakan yang mana ia turut diselitkan dengan hiasan pelbagai budaya.

“Hiasan Laman Cahaya Lebaran ini antara aktiviti tahunan setiap kali menjelang Aidilfitri dan tahun ini tarikan utama adalah ketupat dan pelita gergasi.

“Selain dengan hiasan ratusan lampu berwarna-warni, ia turut diserikan dengan cahaya pelita yang menerangi kawasan sekitar,” katanya ketika ditemui di Laman Cahaya Lebaran.

Hee Sem yang juga Exco Kesihatan, Sumber Manusia dan Perpaduan negeri berkata, hasil gotong-royong antara penduduk setempat yang terdiri daripada pelbagai kaum, kawasan laman itu dapat dihias cantik seperti dirancang.

“Kesemua hiasan itu dibuat oleh penduduk kampung termasuklah anak muda. Menariknya replika gergasi ketupat dan pelita secara keseluruhan juga dibuat sendiri tanpa bantuan tenaga luar.

“Ini menunjukkan semangat kerjasama dan perpaduan dalam kalangan masyarakat setempat. Hiasan ini akan diteruskan selama sebulan dan kita yakin bukan sahaja penduduk setempat yang teruja melihatnya tetapi juga anak rantau yang akan pulang ke kampung,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

144
Kongsi :
Previous post Senarai Rumah Terbuka Ketua Menteri, ADUN di Melaka
Next post PBT Melaka akan kompaun individu buang sampah dari kenderaan
Ubah saiz-+=