Sorting by

×

Pegawai kesihatan kontrak jalani khidmat wajib layak dapat kemudahan – Khairy

Masa Membaca:1 Minit, 24 Saat

KUALA LUMPUR, 8 Jun – Kerajaan bersetuju memberi kemudahan Tambang Mengunjungi Wilayah Asal kepada pegawai perubatan, pergigian dan farmasi lantikan kontrak yang sedang menjalani khidmat wajib, demikian menurut Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin.

Beliau berkata mesyuarat Kabinet hari ini juga bersetuju, untuk memanjangkan kemudahan Cuti Tugas Khas Perubatan serta Cuti Tibi, Kusta dan Barah kepada pegawai perubatan, pergigian dan farmasi lantikan kontrak, yang sedang menjalani latihan siswazah dan/atau khidmat wajib.

Khairy menjelaskan mesyuarat Kabinet pada 14 Julai tahun lalu bersetuju memberikan semua kemudahan tersebut hanya kepada pegawai perubatan, pegawai pergigian dan pegawai farmasi lantikan kontrak, yang telah diluluskan pelanjutan kontrak setelah melengkapkan khidmat wajib.

“Selaras dengan usaha berterusan dan komitmen untuk menambah baik situasi kebajikan pegawai lantikan kontrak, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dalam mesyuarat Kabinet hari ini membentangkan satu lagi memorandum untuk pertimbangan Jemaah Menteri, agar pemberian kemudahan-kemudahan sedia ada ini ditambah baik,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Menurut Khairy keputusan pemanjangan kemudahan Cuti Tugas Khas Perubatan serta Cuti Tibi, Kusta dan Barah, diharap dapat menangani isu ketidaksetaraan pemberian kemudahan-kemudahan berkenaan antara pegawai lantikan kontrak yang sedang menjalani latihan siswazah dan/atau khidmat wajib dengan pegawai lantikan kontrak yang telah melengkapkan khidmat wajib.

“Selain itu, pegawai perubatan, pergigian dan farmasi lantikan kontrak yang sedang menjalani khidmat wajib juga akan dapat menikmati kemudahan Tambang Mengunjungi Wilayah Asal sebagaimana dinikmati oleh pegawai lantikan kontrak yang telah melengkapkan khidmat wajib,” katanya.

Khairy berkata memorandum Jemaah Menteri yang dibentangkan hari ini, adalah satu daripada usaha dan komitmen berterusan KKM dalam menambahbaik dan menyediakan persekitaran tempat kerja yang kondusif buat seluruh kakitangannya, bagi memastikan penyampaian perkhidmatan kesihatan yang berkualiti tinggi serta selamat.- BERNAMA

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

919
Kongsi :
Previous post Fokus kepada tugas di MOF, tidak fikir isu politik – Tengku Zafrul
Next post Kerajaan masih kaji semua sistem percukaian termasuk GST
Ubah saiz-+=