Peka keselamatan kampung sepanjang Aidilfitri

Masa Membaca:1 Minit, 24 Saat

GADEK 17 April – Pemimpin akar umbi di seluruh negeri ini perlu memainkan peranan penting dalam menjaga keselamatan masyarakat sepanjang musim perayaan.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Gadek VP Shanmugam, pemimpin masyarakat perlu memainkan peranan dan bekerjasama dengan pihak polis bagi membanteras sebarang isu jenayah.

Beliau yang juga Exco Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) berkata, perkara itu perlu diberi tumpuan terutama di kawasan perumahan yang tidak berpenghuni.

“Ia menjadi tanggungjawab kita sebagai pemimpin masyarakat kerana kita kena utamakan keselamatan masyarakat setempat.

“Saya berpendapat pihak polis, sidang, penghulu dan Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) faham berkenaan dengan masalah yang dihadapi penduduk dalam situasi balik kampung ini.

“Saya juga ingin menasihatkan kepada penduduk yang ingin pulang ke kampung atau keluar dari kawasan perumahan perlu peka dan pastikan keselamatan rumah terjamin sebelum pulang ke kampung halaman mereka,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Majlis Iftar bersama Exco Belia, Sukan dan NGO di Kompleks Japerun Gadek, di sini hari ini.

Pada program diadakan itu, kira-kira 200 penduduk dan pemimpin masyarakat diraikan dalam majlis berbuka puasa disusuli dengan program sumbangan kepada pengurusan JPKK, surau dan masjid terlibat di DUN berkenaan.

JPKK di setiap kampung menerima sumbangan RM3,000 manakala setiap masjid dan surau masing-masing menerima sumbangan RM2,000.

Shanmugam berharap sumbangan yang diberikan secara menyeluruh itu mampu membantu melengkapkan sambutan lebaran akan datang.

“Malah sepanjang bulan ini kita telah melengkapkan bantuan dan sumbangan kepada 400 keluarga terpilih sempena meraikan Syawal tahun ini.

“Untuk kali ini pula, setiap pengurusan JPKK masjid dan surau juga tidak terkecuali untuk menerima sumbangan ini tanpa mengira fahaman politik demi kesejahteraan masyarakat dalam DUN Gadek,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1569
Kongsi :
Previous post Machap Jaya bermandi cahaya
Next post Panorama Melaka antara tiga operator bas awam terbaik negara
Ubah saiz-+=