Panorama Melaka antara tiga operator bas awam terbaik negara

Masa Membaca:1 Minit, 54 Saat

AYER KEROH 17 April – Panorama Melaka Sdn. Bhd. tersenarai antara tiga operator bas terbaik nasional, sekali gus melayakkan syarikat itu terus menerima lanjutan Dana Sokongan Sementara Bas Berhenti-Henti (ISBSF).

Pencapaian itu adalah berdasarkan kepada indeks prestasi utama (KPI) melebihi 95 peratus yang ditetapkan Kementerian Pengangkutan.

Timbalan Pengurus Besar Panorama Melaka, Azlan Abdul Aziz berkata, pihaknya komited dalam memastikan perkhidmatan bas henti-henti di negeri ini diperkasakan terutama membabitkan pelaksanaan sistem tanpa tunai yang lebih efektif.

“Subsidi ini adalah dana berterusan diterima setiap tahun yang membantu kita memberikan perkhidmatan terbaik kepada rakyat menerusi 17 laluan menggunakan perkhidmatan 24 buah bas.

“Tahun ini jika kita terpilih mengikuti Program Transformasi Bas Henti-henti (SBST), perkhidmatan ditawarkan bakal diperluaskan kepada 22 laluan menggunakan 63 buah bas.

“Menerusi ISBSF kita juga sudah laksanakan penggunaan sistem tanpa bayar dengan projek peneraju membabitkan tiga laluan termasuk di luar bandar,” katanya kepada Melaka Hari Ini.

Mengulas lanjut, beliau berkata, subsidi ISBSF akan dihentikan sekiranya syarikat itu dipilih untuk mengikuti program SBST pada November depan.

Azlan berkata, perkara itu bertepatan dengan hasrat Kerajaan Negeri dalam memperkasakan lagi perkhidmatan awam.

“Jika kita terima SBST ini ia akan membuka dimensi baharu dalam sistem perkhidmatan bas di Negeri Melaka. Panorama Melaka akan berada pada landasan yang betul dan wajar dilaksanakan sejak dahulu lagi.

“Bagi saya faedah SBST ini akan dikembalikan kepada rakyat kerana kita sebagai operator akan pastikan apa yang telah dirancang dalam ‘masterplan’ pengangkutan hijau berdasarkan Pelan Strategik Melakaku Maju Jaya (PSMJ) 2035 akan terlaksana.

“Selain itu kita akan perkenalkan enam bas elektrik dengan dua beroperasi di laluan Bandar Melaka, dua sekitar Hospital Melaka dan dua lagi membabitkan kawasan Pentadbiran Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC),” katanya.

Panorama Melaka merupakan antara 26 daripada 37 syarikat bas henti-henti yang telah menandatangani perjanjian pelanjutan kontrak bantuan ISBSF selama tiga tahun.

Majlis Menandatangani Perjanjian ISBSF 2023 di Kementerian Pengangkutan, Putrajaya, 13 April lalu disaksikan Menterinya, Anthony Loke Siew Fook.

Manakala, 11 syarikat lagi menerima kontrak selama setahun dengan peruntukan yang dianggarkan berjumlah RM169.87 juta.

ISBSF adalah dana bagi membantu pengendali bas henti-henti menampung kos operasi harian, terutama bagi laluan luar bandar.

Antara syarat ditetapkan menerusi syarat baharu ISBSF kepada operator terpilih adalah mematuhi ketepatan masa mengikut jadual sekurang-kurangnya 80 peratus perjalanan sehari.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1501
Kongsi :
Previous post Peka keselamatan kampung sepanjang Aidilfitri
Next post Warga emas maut terjun tingkat 8 UTC
Ubah saiz-+=