Pelajar Sekolah Menengah Arab JAIM Assyakirin juara pantun
BANDARAYA MELAKA, 12 Sept – Pelajar tingkatan empat dari Sekolah Menengah Arab JAIM Assyakirin Selandar, Jasin muncul juara pusingan akhir Pertandingan Berbalas Pantun Berunsur Islam yang diadakan secara maya malam tadi.
Muhammad ‘Afif Fikri Mohd ‘Azim Fikri, 16, berjaya mengharumkan nama sekolahnya apabila diumumkan sebagai juara Membaca Pantun Kategori Pelajar Sekolah Menengah pada pertandingan yang bertemakan kemerdekaan, tamadun Islam dan peradaban dunia itu.
Menurut ‘Afif, pertandingan tersebut adalah yang kedua disertainya sejak mula-mula melibatkan diri pada pertandingan pantun tahun lalu.
“Pertandingan pantun yang pertama saya sertai ialah sempena Karnival Lenggong lalu tetapi saya tidak menang cuma dapat sagu hati dan menduduki tempat 16 terbaik peringkat kebangsaan.
“Pada mulanya saya tidak berminat dengan acara pantun ini namun lama kelamaan, apabila mula mendalami ilmu pantun ini, minat mula membenih dalam diri,” katanya ketika dihubungi Melaka Hari Ini (MHI).
Kemenangan itu membolehkan ‘Afif membawa pulang wang tunai RM300, piala dan sijil pertandingan anjuran Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) dengan kerjasama Majlis Agama Islam Melaka (MAIM), Jabatan Pendidikan Negeri Melaka dan Dunia Melayu Dunia Islam (DMDI).
Penyampaian hadiah dan penutup pertandingan itu disempurnakan oleh Pengarah JAIM, Datuk Che Sukri Che Mat.
Selain kategori pelajar sekolah menengah, turut dipertandingkan kategori institusi pendidikan dan terbuka yang mana peserta Membaca Pantun perlu merakam video melafaz pantun empat kerat sebanyak empat rangkap dalam tempoh masa tidak lebih lima minit sepanjang penyertaan dibuka bermula 20 sehingga 27 Ogos lalu.
Hanya 15 peserta terpilih dan video mereka akan dimuat naik di ruangan komen Facebook JAIM dan hanya sembilan layak ke peringkat akhir pertandingan malam tadi.
Selain itu menurut ‘Afif, dia mendapat bantuan daripada guru, Muhammad Fakhrurrazi Isnin, Guru Penolong Kanan Kokurikulum sekolah, Aslinah Masud yang turut sama memberi sokongan bagi menjayakan penglibatannya pada pertandingan itu.
“Pihak sekolah amat memberi sokongan dan bantuan yang diperlukan, guru akan menyemak semula setiap pantun yang saya karang, beri bantuan dalam persediaan rakaman untuk pertandingan, pengetua sekolah juga sentiasa mengambil berat.
“Persediaan yang teliti juga dilihat pada tema pertandingan, maksud pantun diikuti pembayang, paling penting ia mesti bertepatan dengan tema. Saya tidak henti minta bantuan dengan guru untuk periksa pantun, kesesuaian persediaan dari segi pakaian, peralatan latar belakang,” katanya.
Menurut anak kedua dari empat adik beradik itu, dia berasa bertuah kerana minatnya yang mendalam dalam bidang itu mendapat sokongan daripada kedua ibu bapanya yang juga pendidik, Mohd Azim Fikri Isnin dan Adibahwati Mohd Sidek.
“Selepas ini, saya berhasrat mahu mendalami lagi ilmu pantun, berguru dengan tokoh-tokoh pantun negara, sama ada belajar secara maya ataupun bersemuka.
“Saya mahu ajak kawan-kawan sebaya dan generasi baharu yang lain untuk sama-sama mendalami ilmu pantun ini agar `harta’ warisan bangsa Malaysia ini tidak pupus ditelan zaman, siapa lagi kalau bukan kita generasi hari ini menjunjung warisan lama ini,” katanya yang bercita-cita menjadi seorang chef apabila tamat pengajian kelak.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.