Pelakon Tawil meninggal dunia

Masa Membaca:1 Minit, 37 Saat

KUALA LUMPUR: Pelakon veteran, Tawil meninggal dunia pada usia 68 tahun di kediamannya di Projek Perumahan Rakyat (PPR), Sri Aman, Kepong, di sini, jam 2.15 pagi tadi, lapor BH Online.

Tawil atau nama sebenarnya Abu Bakar Ahmad meninggal dunia secara mengejut selepas mengalami sesak nafas secara tiba-tiba kira-kira jam 1 pagi.

Perkara itu disahkan isterinya, Azah Abdul Kahar, 62, yang memaklumkan Allahyarham sempat mengejutkannya dan minta disapukan minyak pada bahagian dada kerana mengalami sesak nafas secara tiba-tiba.

“Ketika sapukan minyak, nafasnya seperti tercungap-cungap.

“Arwah selalu sesak nafas dan semput, sejak kebelakangan ini. Sebelum ini, arwah tiada penyakit semput,” katanya.

Azah berkata, dia memanggil jiran untuk mengalihkan arwah yang duduk atas kerusi sebelum menghubungi anak-anak dan ambulans.

“Arwah renung wajah saya, sebelum pejam mata. Ketika dialihkan atas katil, arwah masih bernafas, cuma nadinya semakin perlahan.

“Bagaimanapun, pegawai perubatan yang tiba bersama ambulans mengesahkan arwah sudah tiada. Saya percaya arwah menghembuskan nafas terakhir atas katil tanpa saya sedari,” katanya yang reda pemergian suami, apatah lagi meninggal dunia pada pagi Jumaat.

Menurut Azah lagi, dia juga dapat melihat perubahan sikap arwah suaminya itu yang lebih banyak berdiam diri sepanjang minggu ini.

Beliau berkata, urusan pengebumian arwah diuruskan anak-anak, namun belum sempat berbincang mengenai lokasi dan waktu dikebumikan.

Allahyarham Tawil bukan hanya dikenali sebagai pelawak pentas, malah banyak membintangi drama dan filem serta bergelar pengacara sekitar 1970-an dan 1980-an.

Filem Prebet Lapok arahan Allahyarham Datuk Aziz Sattar antara filem mengangkat namanya dengan watak komedi bersama bintang utamanya, AR Badul hingga menjadi sebutan ramai.

Selain itu Arwah juga membintangi deretan filem hebat seperti Darah Satria, Setinggan, Da Di Du, Serampang Tiga dan Penyamun Tarbus.

Difahamkan, arwah Tawil membintangi kira-kira 500 drama, filem, teater dan bangsawan sejak usia 19 tahun.

Kali terakhir anak kelahiran Kampung Baru, Kuala Lumpur itu tampil menerusi telefilem Taubat Seorang Samseng pada 2013 sebelum memperlahankan aktiviti seninya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1194
Kongsi :
Previous post TPM arah KKM senaraikan anak kematian ketua keluarga untuk dibantu
Next post Masri dilantik Datuk Bandar MBS yang baharu
Ubah saiz-+=