Pelancaran TMM2024 meriah, boleh disaksikan secara langsung di China

Masa Membaca:1 Minit, 44 Saat

KUALA LUMPUR 14 Disember – Pelancaran Tahun Melawat Melaka 2024 (TMM2024) pada 31 Disember ini bakal berlangsung meriah, termasuk boleh ditonton secara langsung di China.

Timbalan Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri, Datuk Zaidi Attan berkata, stesen penyiaran dari Wilayah Nanning di Guangxi, China akan berkampung di negeri ini sempena pelancaran berkenaan untuk ditayangkan kepada 50 juta rakyat negara kuasa besar dunia itu.

Beliau berkata, perkara itu telah dipersetujui hasil daripada pertemuan dua negara diketuai Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh bersempena Misi Pelaburan dan Promosi Pelancongan Kerajaan Negeri Melaka ke China, minggu lalu.

Ujarnya, pelbagai acara menarik akan dilaksanakan sempena pelancaran TMM2024 dan setakat ini persiapan rapi sedang giat dijalankan Kerajaan Negeri bagi memastikan penganjuran itu berjalan lancar.

“Untuk promosi pelancongan sempena TMM2024 kita akan bermula lebih awal sebelum memasuki tahun 2024 menerusi program seperti Pertandingan Memancing Megasurf Pantai Puteri, Melaka Berselawat dan diikuti pelancaran TMM2024.

“Sebanyak 70 acara program telah dirancang pada tahun hadapan dan setakat ini kita turut menerima pelawaan daripada agensi lain seperti baru-baru ini Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) turut mempelawa Melaka dan merancang untuk mengadakan Persidangan Menteri-Menteri Pelancongan Asia pada Oktober tahun hadapan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media program Tower Hunt, di Menara Kuala Lumpur, di sini, hari ini.

Hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif Menara Taming Sari Berhad, Azlan Abidin; Ketua Pegawai Eksekutif Menara Kuala Lumpur Sdn Bhd, Nazri Saad; Pengarah Urusan Menara Kuala Lumpur, Datuk Abdul Hamid Shaikh serta tetamu lain.

Dalam pada itu, Zaidi berkata, bagi memastikan kemeriahan TMM2024, Kerajaan Negeri menyeru semua pihak termasuk pemain industri pelancongan untuk bersama-sama menyuarakan pendapat dan cadangan bagi menambah baik perhidmatan pelancongan di Negeri Melaka.

Malah katanya, mutu perkhidmatan pelancongan perlu ditambah baik dari semasa ke semasa sebagai persediaan Melaka berdepan penganjuran berskala lebih besar iaitu Hari Pelancongan Dunia (WTD) pada 2025.

“Kita ada masa setahun untuk belajar dan memperbaiki perkhidmatan pelancongan di Melaka, jadi saya sarankan agensi terlibat termasuk orang awam untuk bersama menyalurkan maklumat atau perkara berkaitan untuk menambah baik sektor ini,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

5986
Kongsi :
Previous post Pelajar aliran agama disaran jadikan TVET jurusan pilihan
Next post Lexus, Proton X70 hadiah cabutan bertuah TMM2024
Ubah saiz-+=