Pelancongan kesihatan Melaka bertambah rancak Mei ini

Masa Membaca:1 Minit, 58 Saat

AYER KEROH 23 Mac – Melaka bakal menerima penerbangan dari dua buah negara yang mahu menjadikan negeri ini sebagai destinasi pelancongan kesihatan.

Timbalan Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri Datuk Zaidi Attan berkata, penerbangan sewa khas itu akan membabitkan pelancong kesihatan dari Dhaka, Bangladesh dan Jakarta, Indonesia.

Jelas beliau, perkembangan positif itu, sekali gus berupaya merancakkan lagi sambutan Tahun Melawat Melaka 2024 (TMM2024), yang mana penerbangan pertama dijangka akan diterima pada 1 Mei depan.

“1 Mei itu membabitkan penerbangan dari Dhaka, Bangladesh ke Lapangan Terbang Antarabangsa Melaka (LTAM) Batu Berendam, manakala untuk Jakarta, Indonesia kita masih menyusun gerak kerja dan diharap ia akan bermula seawal hujung Jun atau Julai.

“Kekerapan penerbangan yang dijangka diterima bagi sub sektor pelancongan kesihatan ini ialah dua kali seminggu iaitu membabitkan tempoh masa empat hari tiga malam bagi setiap pelancong.

“Setakat ini kesemua lima hospital dan pusat rawatan swasta yang ada di Melaka sudah bersedia dan bakal memberikan perkhidmatan terbaik untuk menyambut pelancong kesihatan yang akan tiba melalui laluan udara tidak lama lagi,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita pada Majlis Iftar Ramadan & Ramah Mesra anjuran Pantai Hospital Ayer Keroh di sebuah hotel, di sini, malam tadi.

Hadir sama, Pengarah Imigresen Negeri Melaka Anirwan Fauzee Mohd Aini; Ketua Pegawai Operasi Pantai Hospital Ayer Keroh Catherine Gan dan lain-lain kenamaan.

Mengulas lanjut, Zaidi berkata, Melaka menjadi pilihan pelancong kesihatan berikutan kualiti perkhidmatan yang ditawarkan, selain harganya jauh lebih murah berbanding Singapura, Thailand dan Indonesia.

Jelas beliau lagi, Kerajaan Negeri sedang mencari peluang untuk memperluaskan lagi promosi pelancongan kesihatan di negara-negara lain dalam usaha menarik lebih ramai pelancong ke Melaka.

“Kita juga sedang mencari penerbangan sewa khas dari Sumatera ke Melaka kerana kita lihat ramai pelancong kesihatan yang ada ini berpusat di Batam, Pekanbaru, Medan dan Bukit Tinggi.

“Alhamdulillah dengan usaha dan promosi berterusan, jumlah pelancong kesihatan ke Melaka pada tahun ini menunjukkan peningkatan dan kita berharap mampu mencapai sasaran lebih 100,000 pelancong kesihatan sempena TMM2024 ini,” katanya.

Sementara itu, Catherine dalam ucapannya memaklumkan Pantai Hospital Ayer Keroh telah tersenarai sebagai antara Hospital Terbaik Dunia 2024 di Malaysia menurut Newsweek.

“Kami sangat berbangga kerana diiktiraf dan tersenarai sebagai 30 hospital terbaik oleh Newsweek yang mana ia dinilai berdasarkan ‘survey’ ke atas lebih 85,000 pakar kesihatan, selain pesakit mengenai tahap kepuasan mereka terhadap perkhidmatan yang ditawarkan,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

228
Kongsi :
Previous post Syawal pertama tanpa suami di sisi
Next post RM50 juta baik pulih balai bomba usang
Ubah saiz-+=