Pelancongan Melaka dijangka pulih awal tahun depan – Exco
PENGKALAN BATU 6 September – Sektor pelancongan Melaka dijangka pulih awal Januari 2023 dengan menyasarkan kemasukan pelancong dari Negara India ke negeri ini.
Exco Pelancongan, Warisan dan Kebudayaan Datuk Muhammad Jailani Khamis berkata, setakat ini Melaka telah mencapai 70 peratus pemulihan bagi sektor itu berikutan kehadiran pelancong yang semakin meningkat.
“Kita boleh lihat setelah lima bulan beralih ke fasa endemik ini semua sektor kembali beroperasi dengan rancak dan semaksima yang boleh.
“Saya lihat keadaan sudah kembali pada sedia kala dan InsyaAllah menjelang Januari 2023 semuanya akan pulih.
“Kita perlukan lagi 30 peratus untuk pulih sepenuhnya, justeru itu kita sedang merancang agar mewujudkan penerbangan terus dari Gochi, India ke Melaka selepas ini,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas merasmikan Festival Pengantin di sebuah pusat beli-belah, di sini, hari ini.
Muhammad Jailani berkata, kemasukan pelancong yang menaiki feri juga semakin bertambah pada setiap minggu
“Dulu penggunaan feri kita hanya tiga kali seminggu, tetapi sekarang bertambah 10 kali seminggu yang mana tujuh kali dari Melaka ke Dumai, Indonesia dan tiga kali ke Bengkalis dengan kapasiti lebih 200 penumpang.
“Tempahan hotel juga sentiasa penuh, kita ada 48,000 bilik hotel dan pada setiap hujung minggu tempahan senntiasa penuh melainkan homestay persendirian,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.