Sorting by

×

Pelancongan sukan mampu beri impak besar kepada Melaka

Masa Membaca:6 Minit, 49 Saat

Oleh: Faisal Zakariah

BILA disebut mengenai Negeri Melaka, rata-rata maklum mengenainya kerana Melaka sememangnya terkenal sebagai sebuah negeri pelancongan. Saban tahun pelbagai usaha yang gigih dilakukan untuk memartabatkan lagi industri pelancongan di negeri tersebut. Kini pelbagai tempat bila disebut akan terus mengingatkan kita terhadap negeri Melaka misalannya River Cruise, Taming Sari, Stadium Hang Jebat dan sebagainya.

Melaka menjadi destinasi pilihan rakyat tanpa mengira sama ada di peringkat tempatan mahupun antarabangsa. Namun begitu, isu yang cuba saya bawa adalah bagaimana untuk mengekalkan daya tarikan yang sedia ada ini dan seterusnya mempertingkatkan lagi kehadiran  pelancong ke negeri ini pada masa akan datang.

Sebagai seorang penggiat dan mempunyai kepakaran yang tidak seberapa di dalam bidang yang saya minati iaitu sukan, saya selalu tertanya sama ada Melaka mampu dimajukan dan diketengahkan dalam bidang sukan? Sebagai anak jati negeri ini, saya terpanggil untuk sama-sama berkongsi idea dan pendapat melalui platform ini.

Untuk makluman dan pengetahuan pembaca, pelancongan sukan merupakan sebahagian besar daripada keseluruhan industri pelancongan. Sesetengah orang mendakwa bahawa angka ini adalah setinggi 25 peratus, ini bermakna satu perempat daripada keseluruhan pelancongan di dunia adalah berkaitan sukan.

Pelancongan sukan adalah konsep yang agak baharu di negara ini walaupun ianya telah wujud sejak sekian lama. Hari ini, sukan dianggap sebagai fenomena sosial terbesar di dunia dan pelancongan diramalkan menjadi industri terbesar dunia pada awal abad akan datang.

Oleh itu, kita tidak perlu menjadi seorang ahli akademik atau sarjana untuk mengetahui bahawa pelancongan sukan adalah perniagaan yang cukup besar. Secara rasionalnya, kita boleh lihat lambang Agung (RM) yang boleh dikongsikan bersama jika ianya disusun dan dirancang dengan cara yang betul.

Sekarang persoalannya bagaimanakah pelancongan sukan dapat membantu Negeri Melaka? Bagaimanakah ia boleh dilaksanakan? Saya akan cuba rungkaikan dalam bahasa yang paling mudah dan tidak terlalu akademik.

Kita tidak boleh mentafsirkan jika kita membina padang bola sepak maka kita terus takrifkan sebagai pelancongan sukan. Jika begitu, berapa banyak padang sukan yang terdapat di negara kita ini? Terdapat banyak kajian akademik yang boleh kita gunakan untuk mendalami konsep pelancongan sukan, khususnya pelancongan sukan yang melibatkan acara sukan besar, seperti Piala Dunia bola sepak atau Sukan Olimpik.

Beberapa sarjana dan pihak yang  berkepentingan  telah mencuba untuk mentakrifkan istilah pelancongan sukan. Bukan hanya mengenai pengurusan dan pengendalian acara mega; ia juga boleh dikaitkan penawaran perkhidmatan atau pengalaman berkaitan sukan dan pelancongan khusus pengguna kepada pelancong sukan itu sendiri.

Hari ini, sukan dianggap sebagai fenomena sosial terbesar di dunia dan dijangkakan menjadi industri terbesar dunia pada awal abad akan datang. Oleh itu, tidak memerlukan seorang ahli fikir atau intelek untuk mengetahui bahawa pelancongan sukan adalah perniagaan yang cukup besar.

Kerajaan Negeri Melaka perlu berani membuat pelaburan dalam bidang sukan ini dengan memastikan ianya bukanlah satu ‘peleburan’ atau dengan maksud lain menghabiskan duit orang ramai. Pelaburan yang mendatangkan keuntungan dari pelbagai sudut ini memerlukan seseorang yang mempunyai kepakaran atau ilmu. Bahasa yang paling mudah iaitu seseorang yang “ahli” dalam bidangnya.

Untuk makluman semua, industri pelancongan sukan telah berkembang secara pesatnya sejak beberapa tahun kebelakangan ini. Pada tahun 2016 sahaja, industri pelancongan sukan telah bernilai USD $1.41 trilion dan angka ini sepatutnya dijangka boleh meningkat kepada kira-kira USD $5.72 trillion pada tahun 2021.

Namun begitu, terdapat sedikit perubahan disebabkan pandemik yang berlaku di seluruh dunia.  Insyaallah, pertumbuhan sebanyak 41% akan tercapai dalam tempoh setahun dua dari sekarang memandang banyak negara telah membuka pintu sempadan mereka dan menjalankan aktiviti dan acara sukan seperti biasa.

Sebagaimana yang diketahui umum juga, motif pelancong berkunjung ke negeri Melaka berbeza-beza. Sebahagiannya datang kerana mahu melawat pelbagai kesan tinggalan dan tapak warisan sejarah, ada pula yang berkunjung kerana ingin membeli-belah. Pelbagai produk mengenai warisan sejarah dan pelbagai kemudahan pusat membeli-belah telah dibangunkan sebagai salah satu strategi penting untuk mempromosi pelancongan di Negeri Melaka.

Bagi tujuan promosi, Kerajaan Negeri dan Kementerian Pelancongan Malaysia dilihat sentiasa berusaha untuk memupuk perkongsian pintar antara Kerajaan dengan organisasi pelancongan serta sektor swasta. Perkongsian ini akan membentuk citra serta meningkatkan nama baik Negeri Melaka sebagai pusat pelancongan yang menarik. Syabas dan tahniah di atas usaha murni badan serta agensi yang terlibat berjaya menunjukkan kejayaan serta hasilnya dan sudah tentunya kita sebagai rakyat Malaysia amat menghargainya dan mengucapkan ribuan terima kasih.

Apakah yang perlu dilakukan oleh kerajaan Negeri Melaka jika ingin menjadikan Melaka sebagai Negeri Pelancongan Sukan? Saya tidak mahu mengambil pendekatan melalui kaedah mengajar kerana siapalah saya untuk menunjuk arah. Walau bagaimanapun, Kerajaan Negeri perlu lebih bersedia untuk membuat satu kajian dari sudut sukan dan pengurusan acara yang lebih memfokuskan kepada kapasiti sebuah bandar untuk menjadi destinasi acara sukan serta kesannya terhadap Bandaraya Melaka. Pengurusan destinasi dan prinsip destinasi acara sukan menjadi agenda perbincangan utama.

Satu penyelidikan yang berbeza perlu dilakukan ke atas pengimejan semula Bandaraya Melaka kerana jika tidak dapat dikenal pasti dengan jelas ianya boleh berubah kepada negatif. Contohnya seperti tingkah laku buruk, kerosakan alam sekitar, kerugian kewangan dan sebagainya. Dalam erti kata lain, impak positif dan negatif perlu dianalisis. Matlamat dan objektif juga perlu jelas supaya kerja yang dibuat tidak secara sambil lewa atau caca marba. Struktur disertai dengan kajian literatur juga perlu digunakan agar hasil dan data yang ditemui di seluruh penyelidikan akan membantu dalam membuat kesimpulan serta cadangan lanjut. Wow, belum buat lagi sudah nampak rumitnya. Memang benar, kita tidak boleh ambil jalan mudah dan sewenang-wenangnya menggunakan wang rakyat tanpa memikirkan “value for money”. Jangan hanya tahu untuk menghabiskan peruntukan sahaja tanpa mengambil tanggungjawab yang perlu dicapai.

Biarlah saya jelaskan sedikit sebagai makluman kepada pembaca mengenai kepentingan pengurusan destinasi yang merupakan antara salah satu aspek yang penting di dalam perkara ini. Pengurusan destinasi bukan hanya sekadar mengurus produk fizikal seperti tempat, hotel atau sistem pengangkutan, tetapi juga berkaitan dengan membina perkongsian dan kerjasama merentas destinasi. Pengurusan destinasi memainkan peranan penting dalam sektor venue seperti memastikan kemudahan, mendekati bakal pelabur, melindungi produk dan mengimbangi pengalaman pelawat dengan memberikan kepuasan terhadap destinasi yang dilawati. Ini semuanya bukan perkara yang baharu, Negeri Melaka sudah mempunyai pengalaman terhadapnya, yang berbeza cuma produknya sahaja.

Di samping itu kebarangkalian untuk membentuk sebuah SPV khas sukan (SPVks) Pemasaran Destinasi bagi mengambil tanggungjawab untuk semua aspek pengurusan destinasi mereka, termasuk bekerjasama atau mungkin mengambil tugas yang sedang dilaksanakan oleh Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia Negeri Melaka (MOTAC), pihak berkuasa tempatan dan lain-lain.

Secara ringkasnya, SPVks akan menerajui pembangunan destinasi, menyediakan tawaran keahlian, berkomunikasi dengan industri, menyediakan perkhidmatan ICT, menjalankan pusat maklumat pelancong, memasarkan destinasi, menyediakan maklumat kepada pelawat, perniagaan dan lain-lain, memupuk kecemerlangan dan menjalankan penyelidikan.

Matlamat utama SPVks boleh diringkaskan sebagai berkaitan dengan empat tema berikut, iaitu meningkatkan imej destinasi, meningkatkan keuntungan industri, memperbanyakkan acara dan memastikan program jangka panjang berterusan. Tambahan pula, peranan SPVks adalah untuk menjual destinasi dan menyerlahkan semua kekuatan dan kemudahan, menjana dan menukar pertanyaan kepada perniagaan yang disahkan. SPVks bertindak sebagai perantara, berfungsi sebagai penjaga maklumat destinasi, untuk menjadi suara rasmi destinasi dan kemudahan, perkhidmatan dan keseluruhan ‘produk’ dan SPVks juga dibenarkan berunding dengan beberapa pihak berkuasa seperti kerajaan negeri, untuk menambah baik, contohnya, infrastruktur dan dalam destinasi kerana definisi pasaran sasaran adalah faktor penting untuk ditentukan oleh SPVks.

Pertumbuhan kukuh industri acara sukan adalah sebahagian daripada perubahan ekonomi umum. Walaupun ekonomi cenderung kepada asas produk, ia semakin menjadi berasaskan perkhidmatan. Inilah sebab kenapa dan mengapa Kerajaan Negeri Melaka perlu menggunakan acara sebagai strategi pembangunan ekonomi. Kerajaan Negeri perlu memainkan peranan penting dan utama dalam pengurusan acara.

Seperti kita ketahui, Negeri Melaka memang sudah sinonim sebagai sebuah negeri pelancongan. Dengan menambahkan produk pelancongan sukan di negeri ini maka secara tidak langsung menaikkan lagi imej bandar serta menambahkan lagi kepentingan perniagaan, komersial dan meningkatkan lagi kuasa politik.

Tiada jalan mudah untuk berjaya, saya cuma mampu berdoa agar cadangan ini dapat didengar oleh mereka yang terbabit untuk direalisasikan.

================================================

FAISAL ZAKARIAH

Graduan Universiti Bedfordshire, United Kingdom dengan Ijazah Sarjana Muda Pengajian Bola Sepak dan Sarjana Pengurusan Sukan. Berpegalaman selama 28 tahun dalam pengurusan sukan di dalam dan luar negara. Bekas pentadbir Public Bank FC, PKNS FC dan Felda United FC selain berpengalaman Bersama Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) sebagai Ahli Jawatankuasa Pertandingan, Bola Sepak Pantai dan Futsal. Pernah menjadi kolumnis sukan di Berita Harian dan Bebas News serta tetamu bual bicara di Astro Arena, TV3 dan RTM.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

4940
Kongsi :
Previous post Permit import gandum dibatalkan – Ismail Sabri
Next post Malaysia masih tunggu keputusan rayuan kuota haji tambahan – Idris
Ubah saiz-+=