Pelanjutan SOSMA beri peluang PDRM lebih efisien – Acryl Sani

Masa Membaca:1 Minit, 22 Saat

KUALA LUMPUR, 27 Julai – Keputusan Dewan Rakyat meluluskan usul lanjutan Subseksyen 4(5) Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 (SOSMA) (Akta 747) semalam akan memberikan peluang kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk menjalankan tanggungjawab memelihara keselamatan dan ketenteraman awam dengan lebih efisien.

Ketua Polis Negara Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani berkata PDRM menyambut baik keputusan itu dan amat menghargai usaha kerajaan melalui Kementerian Dalam Negeri (KDN) yang telah mengemukakan semula usul itu di Dewan Rakyat.

“Komitmen KDN dan Ahli-ahli Parlimen dalam membolehkan usul pelanjutan tempoh kuat kuasa Subseksyen 4(5) Akta SOSMA (2012) dan Rang Undang-Undang (RUU) Suruhanjaya Bebas Tatakelakuan Polis (IPCC) 2020 diluluskan, adalah sokongan yang sangat besar dalam penguatkuasaan undang-undang di Malaysia.

“Perkembangan melibatkan pelanjutan Subseksyen 4(5) SOSMA akan memberikan peluang untuk PDRM menjalankan tanggungjawab dengan lebih efisien, demi kesejahteraan Keluarga Malaysia,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Selain itu Acryl Sani berkata, PDRM turut menyambut baik usaha kerajaan ke arah penubuhan IPCC demi mengembalikan keyakinan masyarakat kepada PDRM.

Semalam, Dewan Rakyat meluluskan usul lanjutan Subseksyen 4(5) Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 (SOSMA) (Akta 747) untuk terus berkuat kuasa bagi tempoh lima tahun lagi mulai 31 Julai ini.

Usul dibawa Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hamzah Zainudin itu diluluskan setelah melalui undi belah bahagian yang menyaksikan 111 Ahli Parlimen bersetuju manakala 88 tidak bersetuju dan 21 tidak hadir.

Selain itu Dewan Rakyat turut meluluskan RUU IPCC 2020 yang bertanggungjawab melaksanakan siasatan berhubung aduan tatakelakuan anggota PDRM.

RUU itu diluluskan dengan lebih suara bersetuju selepas bacaan ketiga oleh Hamzah dan dibahas seramai 18 Ahli Parlimen.

— BERNAMA

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1140
Kongsi :
Previous post Gangguan elektrik libatkan 10 peratus keseluruhan permintaan bekalan – TNB
Next post Sidang Khas Dewan Negara lulus usul pelanjutan Subseksyen 4(5) Sosma
Ubah saiz-+=