Sorting by

×

Pelantikan Pengarah MSN tidak boleh tangkap muat – Shanmugan

Masa Membaca:1 Minit, 11 Saat

JASIN 15 Mac – Pelantikan jawatan Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN) Melaka tidak boleh dilakukan secara tangkap muat sebaliknya perlu melalui proses serta prosedur sewajarnya.

EXCO Sukan negeri, V P Shanmugam berkata, individu yang dilantik mengisi kekosongan jawatan tersebut perlu melalui proses kelayakan dan didapati benar-benar layak menerajui kepimpinan MSN negeri.

“Apabila kita mahu lantik seseorang mengisi kekosongan sesuatu jawatan itu kita perlu lalui proses dan kita tidak boleh tangkap muat.

“Kita perlu pastikan individu tersebut ada kelayakan dan boleh memimpin MSN,” katanya ketika ditemui pada Majlis Perasmian Kejohanan Angkat Berat Youth, Junior dan Senior di Dewan Alamanda Majlis Perbandaran Jasin (MPJ) di sini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas perkembangan kekosongan jawatan Pengarah MSN yang sebelum ini ditimbulkan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ayer Keroh, Kerk Chee Yee.

Memetik laporan, beliau menyatakan kekecewaan apabila kerajaan negeri tidak memberi keutamaan dalam melengkapkan struktur MSN berikutan jawatan pengarah kosong sehingga dua tahun dan hanya dipangku penyandang sahaja.

Mengulas lanjut mengenai perkara itu, Shanmugam berkata, perkara itu bukanlah satu isu yang perlu ditimbulkan oleh pihak tertentu.

Katanya, jawatan Pengarah MSN tidak kosong seperti didakwa sebaliknya sentiasa dipangku oleh penyandang sejak tahun 2020.

Sebelum ini jawatan itu disandang Tan Gek Chu dari 5 Jan 2020 hingga 2 Ogos 2021, Ahmad Azlan Ahmad Salleh dari 3 Ogos hingga 4 Jan 2022 dan Mahathir Mustaffa dari 5 Jan 2022 sehingga sekarang.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1284
Kongsi :
Previous post Bekas Ketua Polis Negara diminta tampil kemuka bukti isu kartel dalam PDRM
Next post Agenda 30 peratus calon wanita pada PAU 2021
Ubah saiz-+=