‘Pelantikan semula amanah besar’
MELAKA 27 Ogos – Ahli Parlimen Jasin, Datuk Seri Ahmad Hamzah yang dilantik semula sebagai Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Makanan I berjanji memberikan khidmat terbaik sekali gus menunaikan amanah diberikan.
Ahmad Hamzah menghargai dan berterima kasih kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob di atas kepercayaan untuk meneruskan tugas di kementerian Pertanian dan Industri Makanan.
“Sektor pertanian, perikanan dan penternakan serta rantaiannya sebagai satu perkhidmatan perlu (essential services), maka menjadi tanggungjawab utama kementerian untuk memastikan bekalan makanan yang disediakan mencukupi serta berkualiti.
“Pada masa yang sama, kita perlu pastikan kebajikan golongan sasaran iaitu petani, penternak dan nelayan tidak terjejas dan terus diberi tumpuan,” katanya ketika dihubungi Melaka Hari Ini (MHI).
Pada masa sama kata Ahmad, pihaknya juga berazam untuk memperkenalkan kepelbagaian teknik pertanian moden dari semasa ke semasa dalam usaha meningkatkan hasil pengeluaran tani negara pada masa depan.
“Pada masa ini negara sedang mendepani cabaran besar penularan pandemik COVID-19 dan ia sedikit sebanyak turut memberi kesan kepada aktiviti pertanian.
“Menjadi matlamat kementerian dalam memastikan ia tidak menjejaskan golongan sasaran kita,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.