Pelbagai insentif bantu koperasi Melaka yang terjejas Covid-19

Masa Membaca:1 Minit, 23 Saat

AYER KEROH 29 Julai – Sebanyak 19 koperasi di Melaka yang terjejas teruk ekoran penularan pandemik Covid-19 telah dibantu melalui dana Tabung Bantuan Kecemasan Koperasi (TBKK).

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Penternakan, Pembangunan Usahawan dan Koperasi negeri Datuk Norhizam Hassan Baktee berkata, sebanyak RM80,000 telah diperuntukkan kepada koperasi berkenaan dengan tujuan untuk meringankan beban kos operasi koperasi seperti sewa premis dan gaji pekerja yang ditanggung oleh koperasi.

Selain itu, menurutnya, Suruhanjaya Koperasi Malaysia Melaka (SKM) turut menyediakan skim pembiayaan Tabung Modal Pusingan Jabatan Pembangunan Koperasi (TMPJPK) kepada koperasi yang memerlukan sepanjang pasca COVID-19 membabitkan pembiayaan sehingga RM50,000 tanpa cagaran.

“Pembiayaan ini ditawarkan dengan tujuan membantu aliran tunai koperasi dalam melaksanakan projek yang berdaya maju.

“Selain itu, sepanjang tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) SKM telah memperkenalkan inisiatif Jualan Harga Patut Koperasi (JHP) dengan tujuan membantu masyarakat khususnya di negeri Melaka mendapatkan barangan keperluan asas pada harga yang lebih berpatutan.

“Sekali gus membantu meningkatkan perniagaan koperasi sepanjang tempoh PKP.

“Program JHP ini akan dilaksanakan secara serentak di Melaka dengan melibatkan tiga buah koperasi yang menjalankan aktiviti pemborongan dan peruncitan serta mempunyai kedai runcit atau ‘outlet’ jualan,” katanya.

Beliau berkata demikian Majlis Penyerahan Zakat Perniagaan Koperasi 2020 di sini, hari ini.

Hadir sama, Pengarah SKM Melaka Mohd Firdaus Shaari dan Ketua Pegawai Eksekutif Zakat Melaka Datuk Ibrahim Fadzil.

Mengulas lanjut, katanya, bagi koperasi berkaitan pelancongan di Melaka pula, pihak SKM turut melaksanakan Pelan Pemulihan Ekonomi Koperasi (PULIH) memandangkan sektor pelancongan terjejas teruk sepanjang tahun ini.

Katanya, melalui insentif itu, sebanyak RM12,000 diberikan kepada koperasi yang layak yang hanya boleh digunakan untuk aktiviti promosi dan pemasaran sahaja dalam membantu meningkatkan permintaan pasaran serta menjana pertumbuhan pendapatan koperasi.

Views:

363
Kongsi :
Previous post Enakmen Zakat dan Fitrah Melaka bakal diperkenalkan
Next post FAMA Melaka buka sembilan pasar tani pra Aidiladha
Ubah saiz-+=