Pemandu bas dihukum gantung atas kesalahan bunuh teman wanita

Masa Membaca:1 Minit, 17 Saat

JOHOR BAHRU 4 Feb. – Seorang pemandu bas dijatuhi hukuman mati oleh Mahkamah Tinggi, di sini, hari ini setelah didapati bersalah membunuh teman wanitanya di Taman Scientex dekat Pasir Gudang lima tahun lepas.

Pesuruhjaya Kehakiman Dr Shahnaz Sulaiman menjatuhkan hukuman itu ke atas M. Siva Sangker, 37, selepas mendapati pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah pada akhir kes pembelaan.

Dalam penghakimannya, Shahnaz berkata hujah pihak pembelaan yang mengatakan tertuduh tidak berada di tempat kejadian sebaliknya berada di Masai serta menafikan mempunyai motif untuk bunuh mangsa kerana beliau dan mangsa adalah kawan baik adalah bersifat penafian semata-mata dan bersifat suatu yang difikirkan kemudian.

Beliau berkata tiada saksi yang melihat tertuduh berada di Masai seperti dakwaannya dan pembelaan itu juga tidak ditimbulkan semasa kes pendakwaan.

Menurutnya lagi, keterangan isteri dan pakcik tertuduh juga tidak menyokong keterangan yang dikemukakan dan kedua-dua saksi itu tidak dapat mengesahkan keberadaan tertuduh semasa kejadian pembunuhan berlaku.

Siva Sangker yang kelihatan tenang sejurus keputusan disampaikan didakwa membunuh V. Durga Devi, yang pada ketika itu berusia 23 tahun di Jalan Kancil 1, Taman Scientex, Pasir Gudang pada 12.15 tengah hari, 21 November 2016.

Dia dituduh mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati jika sabit kesalahan.

Pendakwaan yang dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Suriani Ujang mengemukakan 23 saksi sepanjang perbicaraan manakala tertuduh diwakili peguam, G.K Sritharan dan P. Rajagunaseelan mengemukakan tiga saksi.

Mangsa, pekerja pembersihan di Lapangan Terbang Antarabangsa Changi, Singapura, ditemui mati di tempat kejadian akibat cedera parah di kepala, leher dan kedua-dua belah tangan akibat ditetak di tepi jalan.

Views:

433
Kongsi :
Previous post Dua beradik jadikan chalet sunyi daripada pelancong ‘port’ hisap dadah
Next post Bantu polis kesan dua suspek samun kilang
Ubah saiz-+=