Dua beradik jadikan chalet sunyi daripada pelancong ‘port’ hisap dadah

Masa Membaca:1 Minit, 26 Saat

ALOR GAJAH 4 Feb. – Polis menahan dua beradik setelah menjadikan chalet milik keluarga yang sunyi daripada pelancong ketika pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 2.0 sebagai ‘port’ menghisap dadah di sini semalam.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) negeri Superintendan Zulkiflee Rashid berkata, dua beradik itu adalah antara tiga lelaki yang ditahan Cawangan Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Alor Gajah dalam dua serbuan berasingan petang semalam.

Menurutnya dalam sebuan pertama jam 4.15 petang, sepasukan polis menyerbu sebuah chalet di Masjid Tanah hasil maklumat awam mengenai kegiatan jenayah dua beradik lelaki terbabit berusia 42 dan 34 tahun.

“Ketika serbuan, mereka sedang dalam keadaan khayal dan pemeriksaaan lanjut menjumpai dua paket plastik lutsinar disyaki dadah jenis syabu seberat 0.13 gram dan heroin 0.20 gram di atas katil chalet berkenaan.

“Hasil ujian saringan air kencing juga mendapati dua beradik berkenaan positif dadah jenis morfin,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Tambahnya, kedua-dua suspek disiasat mengikut Seksyen 12 (2) dan dan Seksyen 15 (1) (a) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952.

Mengulas lanjut Zulkiflee berkata, hasil soal siasat terhadap kedua-dua suspek, polis kemudian melakukan serbuan ke dua di sebuah rumah di Padang Kemunting, Pengkalan Balak pada jam 4.50 petang sebelum menahan seorang lagi lelaki yang juga rakan dua beradik berkenaan.

“Pemeriksaan kemudian menemukan satu kotak rokok yang di dalamnya mengandungi satu tiub straw dan satu paket plastik lutsinar disyaki dadah jenis heroin seberat 2.20 gram dan satu paket plastik lutsinar dipercayai dadah jenis syabu seberat 0.05 gram.

“Ujian saringan air kencing juga mendapati suspek positif dadah jenis morfin,” katanya sambil menambah kes disiasat mengikut Seksyen 39A (1) dan Seksyen 15 (1) (a) ADB 1952.

Semua ketiga-tiga suspek direman sehingga 7 Februari ini.

Views:

786
Kongsi :
Previous post Lakukan ujian saringan, cegah kanser dari awal: Dr Noor Hisham
Next post Pemandu bas dihukum gantung atas kesalahan bunuh teman wanita
Ubah saiz-+=