Pemandu lori maut dalam kemalangan membabitkan lima lori

Masa Membaca:1 Minit, 12 Saat

 

IPOH 24 Jun – Seorang pemandu lori tangki gas petroleum cecair (LPG) maut dalam nahas membabitkan lima lori, di Kilometer 288.7 Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) arah utara di sini, malam tadi.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Superintendan Azizan Hassan berkata, mangsa Ahmad American Ahmad Danial, 42, maut di lokasi kejadian, manakala tiga lagi mangsa mengalami kecederaan dan dua lagi tidak cedera.

Beliau berkata pihaknya menerima maklumat mengenai insiden itu pada 10.15 malam tadi melibatkan lima lori pelbagai muatan.

“Hasil siasatan awal dijalankan, mangsa yang memandu lori tersebut hilang kawalan apabila tiba di lokasi kemalangan dan melanggar bahagian belakang sebuah lori lain, sehingga menyebabkan lori itu menggelongsor melanggar tiga lagi lori yang berada di hadapannya.

“Mangsa mengalami kecederaan dan tersepit dalam kenderaan serta meninggal dunia di lokasi kemalangan,” katanya menambah mangsa dihantar ke Unit Forensik Hospital Raja Permaisuri Bainun di sini untuk bedah siasat.

Sementara itu, jurucakap Balai Bomba dan Penyelamat Perak berkata, sepasukan anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Simpang Pulai dengan bantuan Pasukan Khas Bahan Kimia Berbahaya (HAZMAT) BBP Pasir Puteh, digegaskan ke lokasi kejadian sebaik menerima panggilan pada pukul 10 malam.

“Bomba menggunakan peralatan khas bagi mengeluarkan mangsa, dengan mangsa berjaya dikeluarkan selepas tiang rangka lori berkenaan dipotong,” katanya.

Beliau berkata pengesanan kebocoran yang dibuat pasukan HAZMAT mendapati tidak berlaku sebarang kebocoran pada lori tangki yang membawa bahan kimia LPG dengan muatan 20,000 kilogram.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

641
Kongsi :
Previous post Lelaki ditangkap cuba pecahkan mesin CDM guna ‘absorber’
Next post Pelajar perubatan wajib penuhi syarat minimum untuk lanjut pelajaran ke Mesir
Ubah saiz-+=