Pemandu lori mengaku tidak bersalah sebabkan kematian dua individu

Masa Membaca:1 Minit, 35 Saat

SUNGAI PETANI, 10 Mac – Seorang pemandu lori mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini hari ini, atas dua pertuduhan memandu secara berbahaya sehingga menyebabkan kematian dua individu dalam kejadian di Lebuhraya Utara Selatan (PLUS), di Gurun, dekat sini, Isnin (7 Mac) lepas.

Tertuduh, Muhammad Ariff Abdullah, 28, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya di dua Mahkamah Majistret berasingan bagi setiap pertuduhan, masing-masing di hadapan Majistret Fazlina Musadan Majistret Nadhirah Abdul Rahim.

Bagi pertuduhan di hadapan Majistret Fazlina, Muhammad Ariff yang berasal dari Bachok, Kelantan dituduh memandu sebuah lori dengan nombor pendaftaran DBU 9556 dalam keadaan berbahaya sehingga menyebabkan kematian Muhamad Khairul Azwan Maula Hashim, 31 tahun.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu di kilometer 92.8 Lebuhraya PLUS (arah selatan) di dalam daerah Kuala Muda pada pukul 2.40 petang hari tersebut.

Sementara itu, di hadapan Majistret Nadhirah pula, Muhammad Ariff dituduh dengan kesalahan sama sehingga menyebabkan kematian Mohammad Amirul Ismail, 28.

Bagi kedua-dua pertuduhan tersebut dia dituduh di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang memperuntukkan hukuman tidak kurang lima tahun dan tidak lebih 10 tahun serta denda tidak kurang RM20,000 dan tidak lebih RM50,000.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Khairul Azreem Mamat dan Nur Hamizah Mat Shah, manakala tertuduh diwakili peguam Siti Haslina Hasbullah.

Terdahulu, pihak pendakwaan mencadangkan mahkamah mengenakan ikat jamin sebanyak RM10,000 bagi setiap pertuduhan, namun Siti Haslina memohon jumlah yang lebih rendah memandangkan anak guamnya berpendapatan rendah dan perlu menyara ibunya.

Majistret kemudian menetapkan jumlah ikat jamin sebanyak RM9,000 dan RM8,000 bagi setiap pertuduhan. Tarikh sebutan semula kes pada 28 Mac ini.

Pada 7 Mac lalu, dua penunggang motosikal maut manakala tujuh yang lain cedera setelah mereka dirempuh sebuah lori dari arah belakang ketika sedang berteduh dari hujan lebat di bawah jejambat di Kilometer 92.8, Lebuhraya PLUS arah selatan, di Gurun.- BERNAMA

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

982
Kongsi :
Previous post Pendekatan baharu tangani miskin tegar diperkenal akhir April ini – Mustapa
Next post Pendengaran permohonan Ahmad Zahid dapatkan rakaman percakapan saksi daripada SPRM 8 April
Ubah saiz-+=