Pemandu MBMB maut, pekerja SWM parah dalam nahas dua motosikal

Masa Membaca:1 Minit, 19 Saat

KESIDANG 11 Jun – Seorang maut, manakala seorang lagi parah selepas terbabit kemalangan di antara dua buah motosikal di Jalan Dato Mohd Zin, berhampiran sebuah pasar raya, di sini, pagi tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 8.20 pagi itu, mangsa yang maut ialah Mohd Nizam Md Yasin, 54 yang merupakan pemandu di Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB).

Manakala, seorang lagi mangsa yang juga pekerja SWM Environment Sdn Bhd, Redzuan Ab Karim, 45, mengalami kecederaan parah dan kini ditempatkan di zon merah Hospital Melaka.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah Asisten Komisioner Christopher Patit berkata, siasatan awal mendapati, ketika kejadian kedua-dua mangsa sedang dalam perjalanan menghala ke tempat kerja masing-masing.

Katanya, kemalangan dipercayai berlaku apabila pekerja SWM Environment yang menunggang motosikal jenis Honda RSX150 dari arah Batu Berendam hendak memasuki simpang menghala ke Krubong, Tampoi.

Katanya, ketika itu, pekerja MBMB yang menunggang motosikal jenis Yamaha Y15 yang melalui jalan lurus menghala ke Batu Berendam dari arah Cheng tidak sempat mengelak lalu berlaku rempuhan di persimpangan berkenaan.

“Akibat pelanggaran itu, pekerja MBMB mengalami pendarahan di bahagian kepala dan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.

“Manakala pekerja SWM mengalami patah kaki kiri, luka di tangan dan badan dan kini ditempatkan di zon merah Hospital Melaka.

“Mayat mangsa yang maut telah dibawa ke Jabatan Perubatan Forensik Hospital Melaka dan Pol 61 telah dikeluarkan untuk dibedah siasat,” katanya.

Menurut Christopher, siasatan lanjut mengenai punca kemalangan masih diteruskan dan pihaknya masih mengesan saksi bebas yang melihat kejadian berkenaan.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

2635
Kongsi :
Previous post Pameran Hang Tuah sangat berbaloi – Pengunjung
Next post Bantuan MAIM bantu persiapan sambut Aidiladha
Ubah saiz-+=