tangkap layar lori rempuh

Pemandu rempuh 11 kenderaan di Tambak Johor miliki 33 saman lampau

JOHOR BAHRU, 8 Julai – Pemandu lori yang merempuh 11 kenderaan di Tambak Johor semalam mempunyai 33 rekod saman lampau atas pelbagai kesalahan trafik.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan ACP Raub Selamat berkata lelaki berusia 34 tahun itu juga mempunyai enam saman yang masih belum dijelaskan.

“Saringan air kencing mendapati lelaki itu negatif terhadap dadah,” katanya yang dihubungi hari ini.

Pemandu tersebut kini direman tiga hari bermula hari ini dengan perintah reman dikeluarkan Penolong Pendaftar Mahkamah Majistret Johor Bahru Melody Woon Sze Mun.

Terdahulu, lelaki itu yang memakai kemeja-T berwarna hitam dan berseluar jeans biru, tiba di pekarangan Mahkamah Johor Bahru dalam keadaan bergari kira-kira 10 pagi.

Semalam, polis menahan seorang pemandu lori warga tempatan yang terlibat dalam kemalangan tersebut pada 1.15 tengah hari.

Hasil siasatan mendapati kemalangan pada 9.25 pagi itu berpunca daripada masalah teknikal yang dialami lori membawa muatan habuk batu berkenaan.

Raub dilaporkan berkata enam kenderaan yang terlibat dalam kemalangan itu merupakan kenderaan tempatan manakala enam lagi kenderaan asing.

Selain lori tersebut, sembilan kenderaan lain adalah kereta manakala masing-masing satu van dan bas.

Bagaimanapun, tiada kecederaan dilaporkan dalam kemalangan itu.

— BERNAMA

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

58
pasar raya Previous post Pasar raya tidak meriah, orang ramai sambut Aidiladha ala kadar
idris ahmad Next post Idris mahu siasatan terperinci isu hampir 400 bakal jemaah haji terkandas di KLIA