Pematuhan SOP pasar Ramadan belum memuaskan

Masa Membaca:1 Minit, 20 Saat

AYER KEROH 19 April. – Tahap pematuhan prosedur operasi standard (SOP) pasar Ramadan di negeri ini masih belum memuaskan, kata Ketua Polis Melaka Datuk Abdul Majid Mohd Ali.

Beliau berkata, kelemahan itu dapat dilihat apabila pemantauan dilakukan sepasukan pegawai dan anggota di tiga daerah di negeri ini pada minggu pertama Ramadan mendapati pengunjung bazar masih gagal mematuhi penjarakan fizikal sebagaimana ditetapkan.

Menurutnya, terdapat juga segelintir pengunjung menggunakan laluan pintas dan tidak melalui kaunter pendaftaran untuk pemeriksaan suhu dan daftar MySejahtera bagi mengelak beratur panjang selain membawa anak kecil ke kawasan tumpuan ramai itu.

“Dalam tempoh seminggu ini kita dapati bahawa pematuhan SOP di pasar Ramadan masih boleh diperbaiki kerana banyak lagi tidak mematuhi SOP ditetapkan bagi mengelakkan berlaku ‘kluster bazar’.

“Satu perjumpaan telah diadakan antara polis Melaka dengan pihak berkuasa tempatan (PBT) dan kita telah mencadangkan beberapa langkah perlu diambil antaranya menggunakan sistem kad atau pelekat supaya mengenal pasti jumlah pengunjung yang masuk mengikut laluan masuk disediakan,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontijen (IPK) Melaka di sini hari ini.

Menurut Abdul Majid, hasil pemantauan polis ke beberapa pasar Ramadan di negeri ini, pihaknya mengeluarkan tiga saman kepada pengunjung atas pelbagai kesalahan termasuk gagal mengamalkan penjarakan fizikal.

“Kita dapati masyarakat masih leka (dengan pematuhan SOP) dan pemantauan pihak polis di bazar dilakukan dengan dua cara iaitu kehadiran polis menggunakan uniform lengkap dan juga berpakaian preman.

“Fasa pertama (minggu pertama) ini, memang kita masih guna budi bicara namun selepas ini tiada lagi kompromi sebaliknya tindakan lebih tegas akan diambil tidak kira penganjur, peniaga mahupun pengunjung,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

561
Kongsi :
Previous post Polis rampas rokok seludup, minuman keras bernilai lebih RM600,000
Next post Kereta nadi berniaga rentung
Ubah saiz-+=