Pembangunan di kawasan tapak warisan dunia perlu dikaji semula – EXCO

Masa Membaca:1 Minit, 26 Saat

GEORGETOWN 14 Jun – Kerajaan Melaka dan Pulau Pinang akan memohon kepada Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) agar melonggarkan syarat berhubung pembangunan di kawasan digazetkan sebagai tapak warisan dunia.

EXCO Pelancongan negeri, Datuk Muhammad Jailani Khamis berkata, perkara sama turut dipersetujui oleh kerajaan negeri Pulau Pinang.

Katanya, Melaka dan Pulau Pinang menerima pengiktirafan sebagai tapak warisan dunia daripada UNESCO pada tarikh sama iaitu 7 Julai 2008.

“Kita minta kerajaan bekerjasama untuk selaraskan kerana kita bersetuju sebabnya pengiktirafan daripada Jawatankuasa Warisan Dunia, bersidang di Quebec, Kanada diterima bersama dengan Pulau Pinang.

“Seperti di Melaka, kita mempunyai zon pemampan termasuklah zon teras yang lebih besar daripada Pulau Pinang yang memerlukan aspek pembangunan dijalankan.

“Jadi ini perlu ada persetujuan termasuk peraturan yang ditetapkan buat Melaka dan Pulau Pinang untuk kita bangunkan kawasan-kawasan ini dengan produk-produk pelancongan sedia ada daripada ia dibiar ditelan masa,” katanya

Mengulas lanjut mengenai hubungan antara dua negeri, Muhammad Jailani berkata, semua pihak harus mengenepikan perbezaan politik.

“Maksudnya politik tidak memainkan apa-apa elemen, lebih baik kita tumpu kepada pembangunan ekonomi demi rakyat dan kemakmuran bersama.

“Perkara ini yang ditekankan Ketua Menteri Datuk Seri Utama Sulaiman Md Ali, keutamaan beliau adalah kesejahteraan rakyat daripada perspektif ekonomi tanpa ambil kira parti mana memimpin sesebuah kerajaan itu,” katanya.

Sementara itu berkongsi hasil padanan perniagaan dijalankan, beliau berkata, wakil kedua-dua pihak memeterai persefahaman untuk menggalakkan pelancongan antara kedua-dua negeri.

“Matlamat kita adalah untuk memastikan sub-sektor pelancongan kesihatan, pendidikan, agama dan pelancongan keluarga yang terdiri daripada 13 sub-sektor pelancongan Melaka dapat ditingkatkan lagi.

“Industri pelancongan domestik ini kita tidak boleh memandang remeh kerana ia merupakan asas kekuatan dalam industri pelancongan,” ujarnya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1137
Kongsi :
Previous post Gotong-royong indahkan Taman Angkasa Nuri
Next post Akademi al-Quran pertama di DUN Merlimau – Dr Muhamad Akmal
Ubah saiz-+=